Bermoralkah begitu?

No Image Caption
A
A
A

TENTANG buku. Beberapa bulan lepas saya ada membeli buku yang mempunyai lima jilid. Bukunya menarik perhatian isteri yang dengan pantasnya menyuruh saya membuat pindahan wang ke akaun penjual buku.

“Menarik buku ni. Kita orang Melayu kena simpan buku ini sebagai rujukan anak cucu,” kata isteri saya dengan semangat nasionalisnya.

“Buku apa?” tanya saya.

“Buku Ensiklopedia Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Ada lima jilid berkulit keras,” katanya.

“Berapa harganya?” tanya saya lagi.

“Asalnya RM800, sekarang ada diskaun. Dah jadi RM350 sahaja,” kata isteri saya penuh bersemangat.

Maka, saya dengan terketar-ketar tangan terus membuat pindahan wang ke akaun secara dalam talian kepada penjual buku tersebut.

Selang beberapa minggu, isteri beritahu lagi: “Ada buku menarik. Himpunan tulisan Allahyarham Profesor Ungku Aziz. Kita perlu baca buku ini untuk meninjau pemikiran beliau.”

Artikel Berkaitan:

“Berapa jilid pula?” tanya saya.

“Ada lima jilid juga, berkulit keras,” kata isteri saya sekali lagi.

“Er, berapa harganya?” tanya saya.

“RM1,020 sahaja termasuk pos,” katanya.

Saya hampir pitam. Buku-buku begini elok pada saya untuk dibuat versi murah. Saya tidaklah berkira membeli buku untuk dibaca demi meningkatkan akal dengan ilmu pengetahuan.

Cuma apabila melihat harga begini sambil terbayang misi atau cogan kata penerbit yang katanya buku diterbitkan demi untuk memandaikan bangsa agak bercanggah kerana ada rakyat mungkin berminat tetapi tidak mampu.

Sebolehnya-bolehnya eloklah dibuat versi untuk rakyat marhaen dengan harga berpatutan. Setahu saya, ada juga penerbit yang ingin membuat versi harga berpatutan tetapi mungkin lesen penerbitan masih dipegang oleh penerbit kayangan yang berasakan bacaan begini hanya untuk dibaca golongan kayangan agaknya.

Maka, moto-moto atau cogan kata untuk memandaikan bangsa eloklah disimpan sahaja. Kalau tidak, nampak ada yang tidak kena. Cakap lain, di-buatnya lain. Maka bermoralkah begitu?

Tentang Anwar Ibrahim

Saya sebenarnya simpati dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sudah berkali-kali seperti dimainkan oleh orang-orang politik. Dari dahulu lagi beliau menerima nasib yang tidak sepatutnya.

Jawatan Perdana Menteri yang dikatakan sepatutnya miliknya masih tidak kesampaian. Dari zaman Tun Dr Mahathir sehingga zaman Dr Mahathir kembali masih tak tertunai cita-citanya. Seolah-olah apa-apa yang didakwanya seperti cakap-cakap atas angin sahaja, menjadikan beliau digambarkan sebagai orang tidak bercakap benar. Yang terbaharu apabila beliau mengatakan ada perbincangan untuk bekerjasama dengan UMNO, dinafikan pula.

Kata Presiden UMNO: “Mana ada perbincangan, cuma berjumpa di Parlimen dan majlis kahwin sahaja.”

Kejadian begini yang berulang kali menjadikan Anwar sasaran pertanyaan oleh orang-orang yang tidak menyukai-nya.“Bermoralkah begitu?”

Tentang Ahmad Zahid Hamidi

Saya pun berfikir juga kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Tegasnya, tidak akan ada kerjasama dengan PKR dan DAP. Itulah yang saya baca dalam tulisan akhbar untuk perenggan awal, cuma di perenggan seterusnya, beliau ada mengatakan: “Tidak tahulah selepas PRU15. Kemungkinan itu ada dan kemungkinan tidak ada.”

Kadang-kadang saya berfikir, ahli politik apabila bercakap seolah-olah rakyat tidak boleh berfikir. Kenyataan itu secara jelas memberitahu memang ada niat untuk bekerjasama dengan pakatan baharu.

Perkara yang kita fikir atau berniat akan terpacul di mulut kita juga akhirnya. Kemungkinan itu menggambarkan di fikiran saya, kalau UMNO menang besar, tidak adalah kerjasamanya dan kalau kalah atau menang tipis nyawa-nyawa ikan, mungkin akan ada kerjasama pakatan baharu.

Sekali lagi episod katak melompat akan berulang dan sekali lagi juga saya ingin bertanya: “Bermoralkah begitu?”

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com