Enam individu ditahan disyaki terlibat kumpulan pengganas

Abdul Hamid
Abdul Hamid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan enam individu disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang pada 6 dan 7 Januari lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada lima warga tempatan dan seorang warga Indonesia.

Beliau berkata, semasa operasi yang dijalankan Cawangan Khas Bukit Aman, polis turut merampas dua helai bendera kumpulan Daesh, sebilah parang dan pisau.

"Kesemua mereka yang ditahan merupakan anggota Anshorullah At Tauhid, sel Daesh yang ditubuhkan pada Oktober tahun 2019 bertujuan mempromosikan ideologi Salafi Jihadi dengan merekrut anggota-anggota baru dan melancarkan serangan di Malaysia.

"Siasatan PDRM mendapati tiga daripada individu yang ditahan telah mengeluarkan ancaman bunuh kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa menteri Kabinetnya kerana mengamalkan kerajaan Thoghut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, Abdul Hamid berkata, mereka juga merancang untuk melancarkan serangan ke atas pusat perjudian di Genting Highlands, Pahang dan kilang arak di sekitar Lembah Klang.

"Merujuk kepada ancaman berkenaan, ia merupakan hasrat yang sering dikeluarkan oleh hampir kesemua suspek pengganas dan kumpulan pro-Daesh yang ditahan Cawangan Khas.

"PDRM sentiasa menilai ancaman bunuh seperti ini dan hasil siasatan PDRM menunjukkan tiada sebarang perancangan atau persediaan dibuat oleh mereka untuk melaksanakan ugutan berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, keenam-enam individu yang mengeluarkan ancaman berkenaan disiasat di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan iaitu mempunyai milik, jagaan atau kawalan bahan berkaitan dengan kumpulan pengganas. - Bernama