Naluri orang tua sentiasa benar...

No Image Caption
A
A
A

NALURI seorang ibu atau orang tua itu sentiasa benar dan kuat. Tiada penjelasan yang logika ke atas kebenaran itu tetapi ia tetap benar.

Begitulah naluri Aziam Ezawatie Fauzi, seorang ibu di Kemaman, Terengganu yang kehilangan anak kesayangannya sejak beberapa hari yang lalu selepas keluar memancing bersama lima rakan yang lain.

Dia berkata, nalurinya kuat berasakan anaknya, Mohamad Zulkarnain Mohamat atau Angah masih hidup.

“Naluri saya sebagai seorang ibu kuat mengatakan bahawa Angah masih ada (hidup). Saya yakin dia masih hidup. Cuma mungkin tersesat tidak jumpa jalan pulang,” ujarnya kepada wartawan Sinar Harian, Norhaspida Yatim pada Khamis.

Masuk hari kelima (Jumaat), Angah dan rakan-rakannya yang lain ditemui selamat – hanyut berhampiran perairan Kuantan.

Agak jauh juga mereka dihanyutkan arus. Dari Kemaman hingga ke Kuantan.

Laporan awal pihak berkuasa yang melancarkan operasi mencari dan menyelamat menyatakan bahawa kipas bot yang mereka naiki telah tercabut.

Mereka keluar memancing menggunakan bot milik ayah tekong bot berkenaan. Bot itu sudah agak usang dan agak lama tidak digunakan.

Artikel Berkaitan:

Tetapi menurut Nur Afza Balqis, adik kepada Mohamad Hafizrul Hisyam Zakaria, 29, (tekong bot), abangnya adalah seorang yang berpengalaman keluar memancing sejak remaja lagi. Mungkin itu menjadi salah satu sebab mereka turut terselamat.

Dia bukanlah pertama kali keluar memancing. Dia tahu selok belok perairan Kemaman dan sekitarnya.

Berita mengenai penemuan mereka selepas hilang selama lima hari sudah pastinya disambut dengan linangan air mata oleh ibu, ayah dan sanak saudara yang lain.

Penulis juga pernah melalui pengalaman dihanyutkan arus ketika memancing berhampiran perairan Tioman pada tahun 2004. Dan ketika itu sekali lagi naluri mewarnai dan menguasai suasana.

Lebih menakutkan kejadian itu berlaku pada lewat petang.

Kami bertolak menggunakan bot seorang nelayan veteran bernama Pak Ali dari jeti Mersing. Selepas sejam perjalanan, tiba-tiba enjin bot mati.

Ketika itu hanya kedengaran suara Pak Ali mengeluh: “Ah! Sudaaaaaaaaah.”Penulis lantas menjenguk ke dalam bot.

“Kenapa Pak Ali, tiba-tiba bot gelap...”“Enjin bot mati...tak leh nak hidup,” jawab Pak Ali sambil menambah: “Tak apa...jangan bimbang, kejap lagi hiduplah balik. Ia meragam sekejap saja.”Hari semakin gelap dan kami sebenarnya khuatir bot yang tersadai di tengah-tengah laut itu gagal dilihat oleh bot yang lebih besar atau kapal dagang yang sedang lalu lalang.

Kami berusaha mencari jalan untuk menghidupkan enjin seberapa segera yang boleh kerana tanpa enjin yang terpasang, kami tidak dapat menyalakan lampu bot.

Suasana ketika itu sangat gelap. Hanya cahaya kerdipan bintang yang menerangi langit yang kelam.

Selepas lebih sejam setengah, Pak Ali masih bergelumang �merawat’ enjin botnya yang meragam itu.

Bila ditanya, dia hanya menjawab: “Usah bimbang...ni bukan pertama kali dia (enjin itu) buat hal.”Dan entah apa yang dia baiki, dengan hanya berpandukan lampu suluh, akhirnya dia berjaya menghidupkan botnya semula.

Pada ketika itu jugalah sekali lagi kedengaran suara Pak Ali yang menghela nafas lega: “Aku dah cakap dah...mesti hidup punya.”Sekali lagi naluri menjadi petunjuk. Dan naluri Pak Ali memainkan pera-nan yang besar dalam menenangkan hati kami semua.

Dan bot itu pun meneruskan perjalanannya ke destinasi memancing kami dengan selamat.