Mesej hukuman FAM tak sampai

Subkhiddin
Subkhiddin
A
A
A

HUKUMAN dalam bentuk amaran keras yang dikenakan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap pemain Kelantan FC, Jack Hindle selepas insiden menolak pengadil semasa aksi Liga Premier di Kota Bharu pada 6 Mac lalu dianggap melucukan.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh berkata, hukuman yang dikenakan jawatankuasa berkenaan jelas tidak memberi mesej dalam melindungi pegawai perlawanan Liga Malaysia (Liga-M).

“Sejujurnya saya agak kecewa dengan keputusan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM yang sememangnya diharap dapat melindungi pegawai pertandingan perlawanan Liga-M.

“Tapi itulah keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM yang difikirkan terbaik untuk masa depan bola sepak negara dan jika dipraktikkan di seluruh dunia, kita terimalah walaupun ia akan memberikan kesan dalam jangka panjang.

“Cuma saya rasa bimbang kerana keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM ini akan menjadi ‘jaminan’ kepada segelintir pemain lain untuk melakukan perbuatan sama terhadap pegawai pertandingan kerana setiap kali hukuman dijatuhkan, kebiasaannya ia akan dijadikan rujukan untuk kes seterusnya.

“Selepas ini kita boleh menjangkakan terdapat segelintir pemain tidak lagi akan menghormati pegawai perlawanan berikutan keputusan yang jelas tidak memberikan mesej pengajaran kepada mereka,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Pada aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu itu, Hindle menolak pengadil Amirul Aizat Mohd Lodin selepas pengadil tersebut dilihat menghadangnya daripada melakukan percubaan dalam kotak penalti.

Ekoran insiden itu, Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan Datuk Baljit Singh Sidhu mengumumkan hukuman terhadap Hindle pada Jumaat selepas mengadakan mesyuarat pertama di Wisma FAM Rabu lalu.

Artikel Berkaitan:

Selain Hindle, pemain import Melaka United FC, Alex Dos Santos Goncalves turut diberi amaran keras serta hukuman lebih berat akan dikenakan jika mereka mengulangi kesalahan sama.

Pemain PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri pula digantung dua perlawanan ekoran tindakannya yang sengaja ‘berlakon’ untuk mendapatkan sepakan penalti ketika aksi Liga Super menentang Melaka United FC pada 10 Mac.

Pemain import Selangor FC, Hein Htet Aung pula dijatuhi hukuman gantung satu perlawanan apabila didapati bersalah mempamerkan simbol berbaur politik ketika aksi menentang PDRM FC pada 6 Mac.

Keempat-empat pemain terbabit didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (edisi 2015) iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan dalam aksi Liga Premier dan Liga Super sebelum ini.

“Pada saya hukuman terhadap Hindle sesuatu yang melucukan kerana jika seseorang pemain melakukan simulasi dikenakan penggantungan dua perlawanan, sebaliknya apabila menyentuh pengadil perlawanan dikenakan amaran keras.

“Persoalan saya adakah hukuman yang dikenakan Jawatankuasa Tatatertib FAM terhadap Hindle boleh dijadikan sebagai pengajaran kepada pemain lain untuk tidak melakukannya lagi? Jadi marilah sama-sama kita fikirkan,” katanya.