Lebih 500 juta dos vaksin diedarkan

Dos tunggal J&J disediakan di sebuah klinik dikhaskan untuk komuniti imigran di Los Angeles, California. - Foto: AFP
Dos tunggal J&J disediakan di sebuah klinik dikhaskan untuk komuniti imigran di Los Angeles, California. - Foto: AFP
A
A
A

PARIS - Lebih 500 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan di seluruh dunia, menurut data AFP sehingga Jumaat.

Program vaksinasi global semakin menunjukkan peningkatan selepas mengambil tempoh kira-kira dua bulan untuk memvaksin 100 juta penduduk dan hanya mengambil masa selama lapan hari untuk 100 juta individu terakhir sekali gus menjadikan angka itu kini mencecah separuh bilion.

Angka terbaharu mendapati lebih 508.3 juta dos vaksin telah diberikan di kira-kira 164 negara di seluruh dunia di bawah program vaksinasi untuk mencegah jangkitan Covid-19.

Namun, hanya 0.1 peratus daripada dos vaksin itu diperoleh di negara miskin yang meliputi sembilan peratus daripada populasi global manakala negara kaya menguasai 54 peratus dos vaksin.

Selain itu, lebih daripada satu perempat atau 26 peratus diedarkan di Amerika Syarikat (AS).

Ketika ini, Israel masih mendahului program vaksinasi tersebut dengan hampir enam daripada 10 populasi di negara haram tersebut telah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala lebih separuh penduduk menerima dos penuh.

Ia disusuli dengan United Kingdom (UK) dengan 43 peratus populasinya sudah diberikan suntikan dos pertama, Emiriah Arab Bersatu (dengan lebih 39 peratus), Chile (32 peratus), Bahrain (27 peratus), AS (26 peratus), Serbia dan Hungary (masing-masing 19 peratus).

Berdasarkan jumlah, Washington mendahului dengan 133 juta dos vaksin telah diberikan diikuti China dengan 91 juta dos vaksin dan India sebanyak 55.5 juta dos vaksin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kesatuan Eropah (EU) telah memberikan 65 juta dos vaksin kepada 10 peratus populasi di blok terbabit.

Data tersebut juga menunjukkan vaksin AstraZeneca-Oxford diedarkan secara adil di negara kaya dan miskin manakala vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna yang lebih mahal dan cara penyimpanannya yang lebih rumit digunakan di negara kaya.

Vaksin Sputnik V dihasilkan Rusia dan Sinopharm serta Sinovac di China digunakan secara meluas untuk pasaran tempatan dan negara membangun.

Vaksin Johnson & Johnson (J&J) yang hanya memerlukan satu dos tunggal kini diedarkan di AS dan Afrika Selatan walaupun ia sudah diberi kelulusan di Kanada dan EU. - AFP