Mayat pencari emas terperangkap dalam gua berjaya dikeluarkan

No Image Caption
A
A
A

BAU - Mayat lelaki berusia 25 tahun yang mati tertimbus akibat dihempap batu di dalam gua Gunung Tabai, Jalan Taiton, di sini pada Rabu lepas berjaya dikeluarkan lewat petang Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Tawang Lingem berkata, setelah pelbagai usaha dilakukan sepanjang operasi menyelamat tiga hari, akhirnya mayat Martin Mat Tapa berjaya ditarik keluar dari runtuhan pada jam 4 petang oleh beberapa penduduk kampung dan proses membawa naik mayat dari dalam gua selesai pada jam 6.22 petang.

Katanya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Bau untuk tindakan lanjut.

Tawang berkata, anggota pasukan penyelamat menempuh risiko yang sangat tinggi dalam cubaan mengeluarkan mayat mangsa dan menambah beliau lega operasi berjaya tanpa sebarang kejadian tidak dingini.

Menurut Tawang, seramai 10 anggota penyelamat telah memasuki ke dalam gua dalam usaha mengeluarkan mayat yang tangan kirinya sahaja yang nampak.

Operasi hari ketiga pada Jumaat bermula dari jam 8 pagi tadi selepas ditangguhkan pada jam 6.30 petang Khamis.

Tawang berkata, operasi disertai 12 anggota bomba, empat anggota polis, enam pegawai Perbadanan Perhutanan Sarawak dan 60 penduduk kampung.

Mangsa terperangkap di bawah timbunan batu di dalam gua berkenaan ketika dia bersama dua rakannya sedang melombong emas di dalam gua berkenaan pada Rabu lepas.

Artikel Berkaitan:

Abang mangsa, Suut Tapa, 33, melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pasukan penyelamat terdiri daripada anggota bomba, polis, penduduk kampung dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) yang telah bertungkus lumus berusaha untuk mengeluarkan mayat mangsa dari dalam gua berkenaan. - Bernama