Macau scam: Guru Tabika rugi RM10,300

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seorang guru tabika kerugian RM10,300 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam, kononnya dia terlibat dalam pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 32 tahun berkenaan mendakwa menerima panggilan telefon daripada sebuah bank di ibu negara berhubung tunggakan bayaran balik pinjaman semalam.

“Panggilan itu kemudiannya dikatakan disambung ke Balai Polis Seri Kembangan dan mangsa diarahkan bercakap dengan Sarjan Adam berhubung kes tersebut.

"Sarjan Adam meminta mangsa membayar RM10,300 jika mahu kes ditutup dan mangsa membuat bayaran sebanyak lima kali," katanya di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa bagaimanapun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, selepas membuat traksaksi itu kerana merasakan dirinya ditipu.

Dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang peniaga dalam talian kerugian RM23,700 akibat ditipu sebuah syarikat pemberi pinjaman kewangan yang tidak wujud.

Menurutnya, wanita yang berusia 36 tahun itu berhasrat membuat pinjaman peribadi sebanyak RM30,000 selepas dihubungi seorang lelaki mendakwa dirinya ejen syarikat tersebut pada 27 Januari lalu.

"Mangsa mendakwa diminta membuat bayaran untuk proses mendapatkan pinjaman yang perlu dimasukkan ke dalam sebuah akaun bank yang diberikan suspek.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa telah membuat bayaran itu sebanyak lapan kali, namun sehingga kini tidak pernah menerima wang pinjaman tersebut selain gagal menghubungi suspek," katanya.

Mohd Wazir berkata, siasatan kedua-dua kes dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. - Bernama