X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki maut tertimbus

A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki maut selepas tertimbus dalam runtuhan tanah ketika sedang menjalankan kerja mengorek tebing tanah di belakang sebuah rumah di Kampung Ulu Tawar, dekat Baling pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian 5.10 petang itu, mangsa Muhammad Firdaus Adnan, 20, yang bekerja sebagai pemandu jentera mesin korek (backhoe) maut di tempat kejadian.

"Sebelum kejadian, mangsa sedang melakukan kerja-kerja mengorek tanah secara bersendirian di belakang rumah tersebut pada jam 4 petang. Mangsa kemudiannya telah menghentikan kerja dan turun dari jentera untuk membuang air kecil.

"Semasa sedang membuang air kecil, tanah tebing yang dikoreknya telah runtuh dan menghempap mangsa. Runtuhan itu telah menyebabkan mangsa tercampak ke jentera yang terletak berhampiran berikutan terdapat kesan luka pada badan mangsa," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, pihak polis mendapati mangsa melakukan kerja mengorek tanah di belakang rumah pelanggannya itu untuk dijadikan sebagai tapak rumah.

Shamsudin berkata, mayat mangsa yang tertimbus itu berjaya dikeluarkan dengan bantuan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kulim dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan proses bedah siasat," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!