Ab Ghani 'letak tepi' soal jawatan Presiden MFL

Ab Ghani Hassan
Ab Ghani Hassan
A
A
A

DATUK Ab Ghani Hassan mahu terus fokus pada tanggungjawabnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan 'meletak tepi’ soal jawatan presiden badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) berkenaan, yang bakal dikosongkan.

Katanya, apa yang penting sekarang untuk MFL adalah, memastikan detik kehadiran semula penonton ke stadium pada 2 dan 3 April ini, berjalan dengan lancar.

“Saya hanya menjalankan tugas selaku CEO hari ini, dengan keadaan semasa saya perlu fokus kepada SOP (protokol pengurusan penonton). Jika berjaya, kita akan bawa masuk (lebih) penyokong lagi.

“Berkenaan jawatan presiden, saya tidak fikir lagi, terpulang kepada Ahli Lembaga Pengarah, sebab mereka buat keputusan,” katanya.

Pada 13 Mac lepas, Presiden MFL Datuk Hamidin Mohd Amin yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), menyatakan hasrat melepaskan jawatannya dalam MFL dalam masa terdekat, bagi memberikan sepenuh tumpuan dalam memajukan FAM.

Selain Ab Ghani, nama lain disebut menjadi calon presiden MFL yang baharu adalah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Group Bhd Tan Sri Tony Fernandes, yang menyatakan kesudiannya menerajui badan pentadbir Liga-M itu.

Sementara itu, Ab Ghani menegaskan saingan Liga-M musim ini, boleh berdepan pembatalan penganjurannya, jika kerajaan mendapati berlaku kegagalan dalam pematuhan SOP yang ditetapkan.

“Sasaran MFL untuk habiskan keseluruhan 22 perlawanan, dengan Piala Malaysia dan Piala Cabaran, menunggu,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, kontroversi menyelubungi pegawai perlawanan di awal musim Liga-M yang bermula 5 Mac lepas, selain tindakan pemain menolak pengadil secara agresif telah dibincangkan bersama Jawatankuasa Pengadil FAM.

Ab Ghani berkata, keutamaan FAM dan MFL kini adalah untuk memastikan mutu pengadilan diperbaiki di setiap sudut.