SPRM tahan pengurus syarikat, setiausaha koperasi salah guna kuasa

SPRM
SPRM
A
A
A

JOHOR BAHRU- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Segamat telah menahan seorang pengurus syarikat Felda Technoplant Sdn Bhd dan setiausaha Koperasi Peneroka Felda Tenang Berhad kerana disyaki menerima rasuah dan salah guna kuasa.

Difahamkan, hasil siasatan yang dijalankan mendapati pengurus syarikat yang juga seorang lelaki berusia 39 tahun itu dipercayai telah menerima wang rasuah lebih RM140,000 daripada sebuah syarikat kontraktor.

Ia sebagai balasan untuk mendapatkan kerja-kerja selenggara di ladang kelapa sawit di bawah kendalian Felda Technoplant Sdn Bhd, Tenggaroh 6 di Mersing.

Menurut sumber, suspek telah ditahan di Pejabat SPRM Johor pada Jumaat, kira-kira jam 3 petang Jumaat.

"SPRM cawangan Segamat juga telah menahan seorang setiausaha Koperasi Peneroka Felda Tenang Berhad semalam (Khamis) di Pejabat SPRM negeri Johor.

"Suspek lelaki berusia 50 tahun itu ditahan kerana disyaki telah menggunakan jawatan dan kedudukannya bagi mendapatkan kerja mengangkut hasil sawit di Felda Tenang, Segamat bernilai RM300,000," katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009, yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Artikel Berkaitan: