Perwakilan UMNO dinasihat tolak usul putus hubungan dengan Bersatu

Perhimpunan Agung UMNO 2020 dijadualkan berlangsung mulai esok.
Perhimpunan Agung UMNO 2020 dijadualkan berlangsung mulai esok.
A
A
A

ALOR SETAR - Perwakilan UMNO dinasihatkan menolak usul memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan bermula esok.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid berkata, sekiranya PAU membuat keputusan untuk menolak usul memutuskan hubungan dengan Bersatu, UMNO tidak akan bersendirian mendepani saingan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, ini kerana UMNO tidak akan mampu untuk bergerak secara sendirian seperti PRU sebelum ini.

“Nasihat saya, untuk kelangsungan UMNO, perwakilan harus menolak hasrat parti itu untuk bersendirian tanpa Perikatan Nasional (PN), sebaliknya harus bersama-sama membina wadah perjuangan dan prinsip yang sama, bukan untuk kepentingan UMNO, Pas atau Bersatu, tetapi untuk kepentingan seluruh rakyat Melayu Islam tanpa mengetepikan kepentingan bukan Melayu,” katanya.

Pandangan itu dilontarkan beliau ketika sesi webinar PINTAR 5: “Perhimpunan Agung UMNO 2020: Ke mana hala tuju UMNO?” bersama moderator, Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff pada malam Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Noor berkata, UMNO tidak seharusnya bersendirian, sebaliknya perlu membentuk kerjasama kerana risikonya terlalu besar.

“UMNO perlu memikirkan sedalam-dalamnya sama ada bertanding secara bersendirian atau teruskan kerjasama dengan Bersatu, Pas dan parti-parti yang menyertai PN. Kalau ditakdirkan berlaku pertandingan tiga penjuru, risiko sama ada UMNO, Bersatu atau Pas mahupun PN adalah lebih besar.

Saya setuju sekiranya UMNO tidak bertanding bersendirian, tidak keluar daripada PN, tetapi bersama-sama membentuk pakatan lebih kuat bersama Bersatu, Pas serta parti-parti bukan Melayu dalam PN, Gerakan dan sebagainya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, agak sukar untuk UMNO bertanding bersendirian berdasarkan senario terkini untuk membentuk sebuah kerajaan seperti yang pernah berlaku sebelumnya.

“Sekiranya UMNO membayangkan kerjasama bersama DAP, ia mungkin strategi UMNO untuk tidak dedahkan kerjasama ini atas faktor sensitiviti orang Melayu, tetapi sekiranya kedudukan DAP tidak berubah dengan 42 kerusi Parlimen, dengan sedikit tambahan daripada UMNO, andaian pakatan itu mungkin beroleh lebih 100 kerusi dan boleh membentuk kerajaan, adalah kurang tepat,” katanya.

Ini kerana, katanya, kemungkinan besar kerusi dimiliki DAP (42) mungkin berubah sedikit atau sebaliknya.

“Saya andaikan pengundi Cina akan bergerak ke arah lain. Contohnya di Sabah, satu daripada kerusi DAP yang menang itu bukan di kawasan majoriti Cina, iaitu kawasan Tenom. Itu adalah pemberian atas dasar prinsip Pakatan Harapan (PH).

Tujuh yang dimenangi di Sarawak, tidak semuanya kawasan majoriti Cina, ada kawasan campuran,” katanya.

Menurutnya, dengan komposisi 166 kerusi Parlimen di Semenanjung, 25 di Sabah dan 31 di Sarawak, sekiranya UMNO bertanding bersendirian di kawasan majoriti Melayu akan berlaku satu pertembungan dahsyat antara Bersatu dengan Amanah di kawasan majoriti Melayu.

“Bagi kawasan campuran UMNO mungkin bertembung dengan PKR sekiranya ia kawasan campuran di mana jumlah pengundi bukan Melayu mengikut kecenderungan lebih memihak kepada PH. Situasi itu akan menyebabkan kekalahan, sama ada UMNO, Bersatu atau Pas,” katanya.

Mohd Noor berkata, dalam konteks penyatuan Melayu Islam sebagai teras kepada kestabilan politik, sekiranya hasil melalui PRU15 adalah angka yang sama atau hampir sama dengan PRU14, kestabilan politik tidak berlaku.

“Kita harus akui kestabilan politik negara perlu ditunjangi sebuah parti Melayu yang dominan sebagai teras dan parti-parti bukan Melayu sebagai sokongan.

Sekiranya berlaku perpecahan antara parti-parti Melayu, kestabilan politik tidak tercapai. Apabila kestabilan politik tak tercapai, beri kesan buruk kepada kestabilan ekonomi, sosial dan sebagainya dan turut beri kesan kepada orang Melayu dan keseluruhan rakyat,” katanya.

Menurutnya, atas asas penyatuan, parti Melayu dominan harus menjadi teras dan disokong parti-parti lain sebagai pelengkap, sama ada dalam PN atau PH, asalkan prinsipnya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Itu yang harus menjadi dasar, sekiranya kita dapat jelmakan kematangan politik kepada pakatan sistem dua parti tetapi teras dan asasnya adalah Perlembagaan Persekutuan, adalah sesuatu yang baik,” katanya.

Mohd Noor berkata, sehubungan itu kerjasama UMNO, Bersatu dan Pas perlu dibentuk semula dengan prinsip yang lebih tegas dan jelas dengan pembahagian adil.

“UMNO tidak boleh lagi harapkan struktur politik seperti PRU14, keadaan telah berubah. Kalau UMNO masih beranggapan seperti ‘abang besar’ yang menguasai seperti sebelumnya, andaian itu tidak tepat.

Perwakilan UMNO harus buat keputusan tepat demi kepentingan orang Melayu dan masyarakat keseluruhannya. Kerjasama tiga parti utama itu pada PRU15 akan membina kesejahteraan untuk semua,” katanya.

Tambahnya, UMNO perlu melihat kembali situasi PRU14, berapa banyak kerusi Pas bertembung dengan UMNO, dan bersaing dengan PKR di mana memihak kepada pihak yang bukan menang mutlak, tetapi menang kerana perpecahan.