Isu kartel masalah dalaman PDRM, SPRM tidak masuk campur

Surina (kanan) bersama Azam (tengah) dan Rais pada Majlis Melafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah MDEC di Ibu Pejabat MDEC, Cyberjaya pada Jumaat. - Foto Bernama
Surina (kanan) bersama Azam (tengah) dan Rais pada Majlis Melafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah MDEC di Ibu Pejabat MDEC, Cyberjaya pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak bercadang masuk campur berhubung isu kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ia masalah dalaman pasukan itu, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata, SPRM yakin dengan kemampuan dan kredibiliti PDRM untuk menangani isu kartel itu dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador juga telah membuat kenyataan bahawa isu berkenaan boleh diselesaikan PDRM sendiri.

"Pada saya ini masalah dalaman pihak polis," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Melafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) di sini pada Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan Abdul Hamid mendedahkan wujud gerakan dalam kalangan pegawai muda PDRM yang bercita-cita menjatuhkannya serta mendakwa gerakan itu juga adalah kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM dengan hasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.

Merujuk kepada majlis lafaz ikrar tersebut, Azam berkata, MDEC telah menunjukkan kesungguhan dalam usaha membanteras rasuah dan memastikan integritinya terpelihara untuk membantu memajukan ekonomi negara ke arah pendigitalan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, 450 kakitangan agensi itu telah melafazkan ikrar bebas rasuah yang dibuat secara hibrid.

"MDEC memang memandang serius gejala rasuah dan ini menunjukkan komitmen kita untuk membasmi rasuah dan juga mewujudkan organisasi yang telus dan berintegrasi supaya kita boleh memacu ekonomi digital," katanya.

Pengerusi MDEC, Datuk Dr Rais Hussin pula berkata, dengan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR), ia memberi impak positif kepada seluruh warga kerja serta kepimpinan MDEC yang beriltizam menjadi sebuah organisasi bebas rasuah.

Artikel Berkaitan:

IBR merupakan janji yang dibuat secara sukarela atas kapasiti individu, organisasi dan kakitangan untuk memastikan lebih bertanggungjawab dalam menjalankan tugas dan menjauhkan diri daripada sebarang kegiatan rasuah semasa memegang jawatan. - Bernama