X

Kindly register in order to view this article
!

Dadah bernilai RM125,170 dirampas

Che Zakaria (dua dari kanan) ketika melihat lori yang dirampas selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Port Dickson pada Jumaat.
A
A

PORT DICKSON - Dadah jenis syabu dan ganja bernilai RM125,170 berjaya dirampas dalam dua serbuan berasingan dalam Ops Tapis di sini pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Datuk Che Zakaria Othman berkata, dalam serbuan itu tiga lelaki berusia 37 hingga 60 tahun berjaya ditahan.

"Serbuan pertama di Kilometer 17 Jalan Seremban- Port Dickson kira-kira jam 5.30 petang iaitu di susur masuk persimpangan Bandar Springhill telah menahan sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 60 tahun.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui dadah jenis syabu anggaran berat 3.47 kilogram dalam satu bungkusan di dalam kenderaan berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Port Dickson, di sini pada Jumaat.

Hadir sama Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed.

Mengulas lanjut, Che Zakaria berkata, lanjutan daripada penahanan lelaki berkenaan, polis berjaya menahan sebuah lori bersama dua lelaki yang merupakan pemandu dan kelindan di kawasan pakir di hentian Rehat dan Rawat di Lebuhraya Port Dickson-Seremban.

"Hasil pemeriksaan, polis merampas ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 4.14 gram dan satu paket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 0.61 gram.

"Ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek juga mendapati positif dadah jenis methamphetamine, manakala dua daripada suspek itu mempunyai rekod lampau bersabit dadah dan jenayah.

"Sementara itu, suspek lelaki warganegara Indonesia didapati tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau tetapi polis sedang meneliti ketulenan dokumen perjalanan sah yang dimilikinya ke negara ini," katanya.

Katanya, kesemua suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula Khamis dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dadah ini dipercayai dari Johor sebelum dibawa ke sini untuk dipasarkan ke negara jiran melalui jalan laut," katanya.

Sinar Harian difahamkan penahanan kesemua suspek ini dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Port Dickson melalui Ops Tapis berdasarkan hasil risikan selama sebulan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!