Sorok rokok seludup RM264,750 dalam kebun koko

Rosman (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dirampas.
Rosman (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dirampas.
A
A
A

GEORGETOWN - Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Pulau Pinang berjaya membongkar stor penyimpanan rokok seludup yang berselindung dalam kebun koko di Kampung Jawi, Sungai Jawi pada petang Khamis.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, stor terbabit berjaya dikesan selepas pihaknya menahan seorang wanita berusia 23 tahun di kawasan perumahan Taman Sri Aman, Sungai Jawi, kira-kira jam 6.30 petang.

Menurutnya, wanita itu ditahan ketika sedang menuju ke sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipercayai menjadi tempat simpanan sementara sebelum rokok tersebut dijual.

"Pemeriksaan yang dibuat di dalam kereta terbabit menemui sejumlah kotak rokok seludup dan susulan daripada itu membawa kepada serbuan di sebuah stor di dalam kebun koko di Kampung Jawi.

"Dalam serbuan itu Pasukan Polis Marin menemui 1,940 karton rokok putih pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM264,750," katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Rosman Ismail berkata, selepas 30 minit pemeriksaan di stor berkenaan dilakukan muncul seorang lelaki yang mengaku pemilik stor terbabit dan meminta untuk berbincang dengan pasukan serbuan.

Katanya, lelaki berkenaan juga menawarkan wang sogokan sebanyak RM10,000 agar tiada tindakan diambil termasuk merampas rokok-rokok yang dipercayai tidak membayar cukai kastam.

"Tindakan suspek yang berulang kali menawarkan rasuah itu mengundang padah apabila dia ditangkap selain polis menyita wang yang cuba disogok.

Artikel Berkaitan:

"Selain merampas rokok putih, kita turut menyita sebuah kereta serta motosikal yang dianggarkan bernilai RM34,000,"katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek itu dipercayai rakan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan mereka sudah lama aktif dalam kegiatan menyeludup dan mengedar rokok tanpa cukai.

Tambahnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kedua-dua mereka direman sehingga 28 Mac ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d)Akta Kastam 1967 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.