Undi 18: Pindaan, peruntukan masih dalam proses digazetkan

Mohamed Azmin menyampaikan ucapan pada Program Rapat Malaysia Prihatin Peringkat Negeri Selangor, di Shah Alam pada Jumaat. - Foto Bernama
Mohamed Azmin menyampaikan ucapan pada Program Rapat Malaysia Prihatin Peringkat Negeri Selangor, di Shah Alam pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pindaan berkenaan peruntukan yang membenarkan golongan berusia 18 tahun ke atas untuk mengundi pada pilihan raya umum (PRU) masih melalui proses yang panjang.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, walaupun pindaan tersebut diluluskan oleh Parlimen, namun beberapa peruntukan perlu dibuat supaya ia digazetkan bukan sahaja di peringkat Persekutuan, malah di peringkat negeri.

Menurutnya, tidak memadai jika golongan tersebut hanya boleh menyertai PRU di Persekutuan sahaja dan bukan di peringkat negeri.

“Pindaan itu perlu digazetkan bukan sahaja di peringkat Persekutuan kerana ia perlu mematuhi beberapa proses dan peruntukan yang saya difahamkan perlu buat pindaan tentang daftar pemilik sebagai contoh.

“Ia juga perlu dibuat di peringkat negeri, yang mana jika kita hanya benarkan golongan tersebut menyertai PRU di peringkat Persekutuan sahaja adalah tidak boleh.

“Keputusan membenarkan generasi muda mengundi ketika PRU sudah diputuskan, cuma beberapa pindaan dan peruntukan undang-undang perlu dibuat untuk memenuhi pindaan di peringkat Persekutuan,” katanya ketika ditemui di Program Rapat Malaysia Prihatin di Hotel Concorde Shah Alam, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengiktiraf sumbangan anak muda dalam sistem demokrasi negara.

Ujarnya, golongan tersebut wajar dilibatkan kerana mereka bertanggungjawab untuk memastikan sistem tersebut berjalan lancar.

Artikel Berkaitan:

“Saya rasa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan bahawa kita menggubal perkara tersebut kerana kita yakin anak-anak Malaysia adalah golongan yang bertanggungjawab dan wajar terlibat dalam proses demokratik di negara ini.

“Jangan buat andaian yang memainkan sentimen kerana kerajaan PN mendukung sumbangan anak muda yang bertanggungjawab untuk memastikan demokrasi berjalan lancar,” katanya.

Program Rapat Malaysia Prihatin diadakan untuk memberi peluang kepada komuniti ekonomi di negeri Selangor untuk mendapat maklumat terkini mengenai inisiatif Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensi dalam membantu melonjakkan ekonomi negeri tersebut sepanjang tahun ini.

Selain itu, program tersebut juga menjadi medan untuk pemain industri di negeri ini untuk berkongsi maklumat dengan pihak MITI dalam usaha menambah baik inisiatif yang ditawarkan oleh pihak kerajaan.

Mohamed Azmin dalam ucapannya pada program itu berkata, Selangor berjaya menarik 1,548 projek dengan jumlah pelaburan sebanyak RM75.9 bilion yang mewujudkan 100,205 peluang pekerjaan baru dari tahun 2015 hingga 2020.

Antara negara asing utama yang melabur di negeri Selangor bagi tahun 2020 adalah Kepulauan Virgin British, Belanda, Jepun, Hong Kong dan China.