Tiada perbincangan jawatan TPM atau jatuhkan Zahid di Janda Baik

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mendedahkan tiada sebarang perbincangan mengenai tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada parti itu atau gerakan menjatuhkan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Janda Baik, bulan lalu.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Pontian itu mendedahkan segala ketetapan diputuskan dalam mesyuarat MKT selama tiga jam itu diterima sebulat suara oleh kesemua ahli MKT tanpa ada bantahan.

Jelas beliau, MKT UMNO tidak membuat keputusan secara terburu-buru atau menggunakan kuasa veto untuk menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tetapi kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga pembubaran Parlimen,.

"Sebelum mesyuarat MKT diadakan sebelah malam, biasanya pada sebelah petang, Presiden UMNO akan mengadakan mesyuarat Biro Politik UMNO dianggotai beliau sendiri, Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden, ketua-ketua sayap, Ketua Penerangan, Setiausaha Agung, Bendahari dan 13 pengerusi badan perhubungan UMNO.

"Kemudiannya, pada sebelah malam, beliau mengadakan satu mesyuarat lagi bersama ahli MKT dan selepas tiga jam, Presiden UMNO kenalah merumuskan hasil mesyuarat selaku pengerusi mesyuarat.

"Maka beliau merumuskan keputusan mesyuarat mengikut ketetapan-ketetapan yang telah dipersetujui. Yang mendengar tidak ada yang membantah. Dalam konteks mesyuarat di Janda Baik tempoh hari, perkara sama berlaku.

"Apabila didapati tiada membantah, kita mengambil keputusan itu sebagai keputusan sebulat suara. Kalau ada sedikit yang tidak bersetuju selepas mesyuarat, itu tidak boleh dikatakan mereka tidak bersetuju. Ini kerana itu adalah keputusan mesyuarat yang dibincangkan bersama," katanya dalam satu wawancara khas bersama Sinar Harian pada Rabu.

Ditanya mengenai dakwaan terdapat perbincangan mengenai tawaran jawatan TPM kepada UMNO serta gerakan menjatuhkan Ahmad Zahid turut dibincangkan dalam mesyuarat MKT di Janda Baik, Ahmad pantas menafikannya.

Artikel Berkaitan:

"Mana ada, mana ada perbincangan isu hendak turunkan dia (Ahmad Zahid). Tiada.

"Ketetapan pertama, kedua dan ketiga yang sudah dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat MKT, itulah yang dirumuskan. Sebab perkara itu sahajalah yang dibincangkan dalam tempoh enam jam bermesyuarat, bermula sesi petang dan sesi malam," katanya.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu turut meluahkan kekecewaan terhadap tindakan pihak tertentu yang membocorkan surat sulit tular berhubung pendirian MKT UMNO yang diutuskan kepada Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tempoh hari.

Beliau turut menafikan UMNO bertindak membocorkan surat itu, sebaliknya pucuk kepimpinan parti sedaya-upaya bertindak menahan ahli-ahli MKT daripada mendedahkan hasil mesyuarat di Janda Baik kepada pihak luar.

"Surat itu surat sulit. Surat sulit, warna merah. Macam mana surat itu boleh bocor? Sebab itu sewaktu mesyuarat MKT di Janda Baik, kita tahan ahli-ahli MKT supaya tidak mendedahkan hasil mesyuarat di luar.

"Sebab kita hendak menghantar mesej sulit kepada Perdana Menteri. Tetapi surat sulit itu sudah ditularkan. Oleh itu, saya terpaksa menjawab secara panjang lebar," katanya.