X

Kindly register in order to view this article
!

Tujuh lagi kem PLKN diguna untuk penjara satelit, pusat tahanan

Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Nordin Muhamad - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Penjara Malaysia akan menggunakan tujuh lagi kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai penjara satelit serta pusat tahanan dan kuarantin sementara pendatang tanpa izin (PATI), bagi mengurangkan kesesakan banduan.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Nordin Muhamad berkata, tujuh lagi kem PLKN itu akan mula digunakan pada 1 Jun.

Beliau berkata, pihaknya perlu mengubahsuai dahulu kem PLKN itu dan perlu memantapkan tahap keselamatan di kawasan-kawasan PLKN terlibat, bagi mengelakkan banduan meloloskan diri.

“Ini kerana kem PLKN bukan disediakan untuk penjara dan ia merupakan kawasan terbuka, maka kami perlu pasang kamera litar tertutup, pasang pagar kawad duri, pasang pagar jeriji dan menutup tingkap-tingkap bilik PLKN dengan besi,” katanya baru-baru ini.

Sebelum ini lima kem PLKN digunakan sebagai penjara satelit dan pusat tahanan sementara sejak awal Januari tahun ini, dengan menempatkan 2,150 banduan.

“Jabatan Penjara dijangka menggunakan penjara satelit berkenaan untuk tempoh dua tahun, bagi menempatkan banduan-banduan baharu bagi tujuan saringan sebelum ditempatkan ke penjara,” katanya.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) di penjara satelit bagi mengekang penularan wabak Covid-19, Nordin berkata, ujian saringan akan dilakukan bagi mengenal status banduan sebelum diasingkan.

“Sekarang ini, kami akan menyaring semua banduan baharu sama ada mereka bergejala atau tidak bergejala, untuk mengelakkan berlakunya kluster penjara yang baharu.

“Setakat ini, kes positif Covid-19 yang melibatkan banduan di penjara hanya 1.5 peratus daripada keseluruhan jumlah kes Covid-19 negara,” katanya.

Nordin berkata, pihaknya terpaksa mengambil langkah pencegahan dengan teliti, kerana banduan-banduan baharu itu datang dengan pelbagai latar belakang.

Selain itu, beliau juga menyasarkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, kesesakan dalam penjara akan dapat dikurangkan jika pindaan undang-undang penjara dapat dilakukan melibatkan kesalahan-kesalahan kecil.

“Besar kemungkinan program pemulihan dalam komuniti, pelepasan secara perintah parol atau pelepasan secara berlesen, dapat kita tingkatkan. Pada masa itu, insya-ALLAH kami boleh mengatasi kesesakan kerana kita sudah ada hukuman pilihan,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!