Taman Guru, Kuantan dan dua kampung di Sarawak kena PKPD

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Guru, Jalan Gambang, Kuantan, Pahang serta Kampung Batu Gong dan Kampung Chupak, Daerah Kecil Siburan, Sarawak bermula esok (Sabtu) hingga 9 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan itu adalah untuk memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.

“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,” katanya dalam satu kenyataan mengenai pelaksanaan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan pada Jumaat.

Menurutnya sehingga kini, sebanyak 63 kes positif Covid-19 telah direkodkan di Taman Guru daripada 178 saringan yang dilaksanakan oleh KKM.

Sementara itu, 50 kes positif telah dilaporkan di Kampung Batu Gong manakala 57 kes positif telah direkodkan di Kampung Chupak selain 240 baki sampel saringan sedang menunggu keputusan.

Mengulas kes ingkar prosedur operasi standard, seramai 54 individu telah ditahan dan daripada jumlah itu 53 orang dikompaun manakala bakinya direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri (25 kes), tidak memakai pelitup muka (17), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (enam), tiada penjarakan fizikal (lima) dan lain-lain kesalahan (satu).

Ismail Sabri berkata, dalam Op Benteng semalam lima orang pendatang tanpa izin telah ditahan serta dua kenderaan darat serta dua bot atau kapal telah dirampas.

Artikel Berkaitan:

“Seramai sembilan orang pendatang tanpa izin turut diusir melalui tiga aktiviti pengusiran,” katanya.

Sementara itu 21 orang didapati positif dalam ujian saringan membabitkan 2,990 pekerja warga asing.

Secara kumulatifnya, seramai 654,071 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 melibatkan 33,948 majikan. - Bernama