Covid-19: 1,275 kes positif, satu kematian

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysia merekodkan jumlah kes baharu harian Covid-19 di bawah angka 2,000 untuk 20 hari berturut-turut dengan 1,275 kes hari ini dan satu kematian melibatkan lelaki tempatan dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh 24 jam juga, 1,509 kes sembuh direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih daripada Covid-19 di Malaysia kini 323,925, manakala angka keseluruhan kematian kini 1,249 orang selain jumlah kes aktif kini ialah 14,269.

“Daripada jumlah kes baharu hari ini, 1,243 adalah melibatkan penularan tempatan manakala hanya 32 kes import, sementara 161 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 70 individu memerlukan alat bantuan pernafasan, ” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan Covid-19, pada Jumaat.

Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi iaitu 478 kes diikuti Sarawak (213), Johor (120), Pulau Pinang (137), Kelantan dan Kuala Lumpur masing-masing 86 kes, Sabah (51), Perak (28), Kedah (27), Melaka (19), Negeri Sembilan (12), Pahang (enam), Labuan (lima), Terengganu (tiga) serta Perlis dan Putrajaya masing-masing dua kes.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 13 lagi kluster dikesan pada Jumaat melibatkan 11 kluster di tempat kerja dan dua kluster komuniti iaitu Kluster Batu Gong di Sarawak dan Kluster Pengkalan Nangka Tumpat di Kelantan.

Kluster di tempat kerja melibatkan Kluster Taman Brick, Kluster Jalan Gemilang Sukan dan Kluster Jalan Sungai Chat di Johor; Kluster Tapak Bina Sungai Emas dan Kluster Tapak Bina Jalan Atmosphere (Selangor);Kluster Persiaran Cassia Selatan dan Kluster Lebuhraya Kampung Jawa (Pulau Pinang); Kluster Sawit Sebrang dan Kluster Kolam Lintas (Sabah) serta Kluster Paya Bemban di Kelantan dan Kluster Lorong Desa Senadin di Sarawak.

“Pertambahan kluster baharu menjadikan jumlah kluster di Malaysia sebanyak 1,335 dengan 393 daripadanya masih aktif manakala 14 kluster diisytiharkan tamat hari ini (Jumaat),” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: