AADK Pahang tahan 168 penagih dadah

Sebahagian individu yang ditahan AADK dalam operasi perdana satu di 10 daerah di Pahang yang dilaksanakan selama lima hari sehingga Khamis .
Sebahagian individu yang ditahan AADK dalam operasi perdana satu di 10 daerah di Pahang yang dilaksanakan selama lima hari sehingga Khamis .
A
A
A

KUANTAN - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pahang berjaya menahan 168 individu yang dipercayai penagih dadah dalam operasi perdana satu, bermula Ahad dan berakhir pada Khamis.

Semua yang ditahan berusia antara 18 hingga 55 tahun dalam operasi yang dilakukan di 10 daerah di Pahang secara serentak.

Pengarah AADK negeri, Zirwatul Ahlam Zamzam berkata, operasi itu menumpukan beberapa kawasan panas seperti di sekitar Felda Keratong, Rompin; mukim Kuala Kuantan, Kuantan dan Kuala Pahang dan Pahang Tua di daerah Pekan.

"Kita berjaya menahan 195 individu, tetapi hanya 168 daripadanya positif dadah pelbagai jenis.

"Kes positif dikesan membabitkan penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine sebanyak 134 kes dan 34 kes lagi membabitkan dadah jenis opiat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Zirwatul Ahlam berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah dalam operasi selama lima hari itu.

Jelasnya, antara dadah yang dirampas ialah 91 biji pil kuda, 41.92 gram syabu dan heroin sebanyak 5.55 gram.

Selain itu, pihaknya turut menyerahkan 20 individu kepada pihak polis kerana mempunyai rekod kesalahan lampau.

Artikel Berkaitan:

"Ia membabitkan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan lapan kes disenaraikan sebagai orang dikehendaki," katanya.