Percaturan Ahmad Zahid buat PH berkubur

DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
A
A
A

REALITI UMNO tatkala Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mula menjadi presiden adalah penuh dengan warna warni politik.

Tatkala beliau memegang jawatan selaku presiden terlalu banyak onak dan duri yang terpaksa beliau tempuhi.

Namun begitu, anak jati Sungai Nipah Darat Rungkup, Bagan Datuk ini tidak pernah mengenal erti mengalah, hanya sekali beliau dilihat mengundur tetapi itupun sebenarnya adalah taktikal beliau dalam menyederhanakan suhu politik dalaman UMNO pada ketika itu.

Apabila beliau kembali semula kekerusinya, makanya parti UMNO kembali dinamik. UMNO kembali semula menjadi perhatian rakyat.

Pesaing-pesaing politik beliau juga kembali bersiap-siaga. Kejayaan beliau dalam mengungguli wadah penyatuan Melayu-Islam di bawah payung Muafakat Nasional (MN) telah meletakkan nama beliau sebagai seorang presiden parti yang tidak patut dipandang enteng oleh sesiapa.

Air tangan dan kehebatan percaturannya dalam menentukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya mampu bertahan selama 22 bulan bukanlah satu rahsia dalam kalangan pemimpin utama politik.

Namun, UMNO tetap UMNO, badai dan gelora adalah buah mainan parti keramat orang Melayu ini.

Kritikan, hentaman, cacian, kejian yang datang daripada dalam atau luar bukanlah suatu yang aneh bagi parti ini.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, institusi kepresidenan dan kepartian tetap dijulang kukuh oleh ahli. Solidariti menjadi paksi teras pengukuhan sebagaimana resam UMNO, semakin kuat diasak semakin ganteng jadinya.

Dalam konteks realiti baru politik semasa terutamanya apabila menyentuh kerajaan Perikatan Nasional (PN), UMNO ternyata mempunyai tatacara yang tersendiri dalam menentukan hala tuju partisipasinya.

DATUK DR AHMAD MASRIZAL MUHAMMAD
DATUK DR AHMAD MASRIZAL MUHAMMAD

Pendirian UMNO sebagaimana dinyatakan Ahmad Zahid bahawa parti itu akan mendokong kerajaan ini sehingga PRU 15 adalah merupakan satu quo vadis yang cukup penting untuk difahami oleh semua.

Inilah jiwa besar UMNO dalam usaha memastikan agenda membantu rakyat yang terkesan hebat akibat pendemik Covid-19 ini tidak terjejas dan tetap selamanya menjadi keutamaan.

Kenyataan terbaru presiden UMNO mengenai tiadanya keperluan untuk menjayakan agenda ‘political pairing’ dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas beberapa hari pemimpin utama PKR membuat kenyataan kesediaan untuk bersama UMNO telah sekaligus menafikan segala cakap-cakap terhadap presiden UMNO itu bahawa beliau telah terlibat dengan kluster Jajaran Politik Baru (UMNO-PKR-DAP).

Ianya cukup terang dan jelas bahawasanya NO PKR!

Kenyataan ini juga merupakan satu tujahan politik pertama yang amat besar maknanya daripada beliau sebelum 28 Mac nanti.

Apa lagi tujahan politik yang akan beliau buat pada masa hadapan pastinya adalah rahsia yang hanya beliau sahaja mengetahuinya.

Yang pasti’ semua ahli perlulah sentiasa bersama dengan parti dan presiden dalam saat- saat sebegini.

Bersetia bersama dalam satu bahtera, tidak meninggalkan satu sama lain, bersatu padu menghadapi cabaran lingkungan yang pastinya lebih ketidaktentuan pada masa mendatang.

Pastikan UMNO bingkas semula. Itu adalah pilihan terbaik untuk semua pada detik ini demi kelangsungan parti utama orang Melayu ini.

Selamat bersidang semua perwakilan dan sentiasa hargailah alam sekitar kita.

* Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad

Bekas Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional