Johor harap komitmen iktiraf sijil vaksin jadi asas buka sempadan

Hasni (tengah) beramah mesra bersama penerima bantuan One-Off ketika hadir pada majlis penyerahan Bantuan Insentif One-Off di Benut, Pontian hari ini. Foto Bernama
Hasni (tengah) beramah mesra bersama penerima bantuan One-Off ketika hadir pada majlis penyerahan Bantuan Insentif One-Off di Benut, Pontian hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Komitmen Malaysia dan Singapura untuk saling mengiktiraf sijil vaksin Covid-19 kedua-dua negara, diharapkan dapat menjadi asas kepada pembukaan semula sempadan, sekali gus dapat membantu merancakkan kembali sektor ekonomi negeri.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, inisiatif itu menunjukkan kesediaan kedua-dua negara dan berita gembira kepada rakyat Johor dan dapat mencapai persetujuan rakyat dua negara untuk berulang-alik.

“Usaha itu adalah inisiatif dan daya usaha kerajaan (Malaysia) dan Singapura, di mana kedua-duanya bersetuju untuk menilai dan meninjau kemungkinan membuka sempadan sebaik sahaja sijil ini (sijil vaksin Covid-19), boleh dijadikan sebagai satu daripada asas untuk membuka sempadan,” katanya.

Hasni berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan bantuan insentif one-off kepada pemandu pelancong, agensi dan persatuan pelancongan di negeri ini, di Benut, di sini hari ini.

Beliau mengulas berhubung Malaysia dan Singapura mengulangi komitmen, untuk saling mengiktiraf sijil vaksin Covid-19 yang bertujuan memudahkan perjalanan rentas sempadan pada masa depan.

Hasni pada masa sama menegaskan, pihaknya akan memastikan semua sektor dalam kerajaan dapat memainkan peranan menjayakan kempen pendaftaran vaksin Covid-19 dalam kalangan rakyat negeri ini, kerana hanya 27 peratus yang mendaftar setakat ini.

Pada majlis itu menerusi peruntukan Belanjawan Johor 2021, seramai 840 pemandu pelancong menerima insentif berjumlah RM1,000 seorang, 120 agensi pelancongan pula masing-masing menerima insentif RM2,000 manakala 16 persatuan pelancongan masing-masing menerima insentif RM20,000. - Bernama

Artikel Berkaitan: