Menunggu suami datang, rupanya berita duka yang tiba

Jayathri bersama anak sulungnya menunjukkan gambar kenangan bersama suami dan anak bongsunya yang mati pada Khamis.
Jayathri bersama anak sulungnya menunjukkan gambar kenangan bersama suami dan anak bongsunya yang mati pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Siapa sangka, pesanan WhatsApp yang diterima seorang isteri daripada suami mahu berjumpa, akhirnya bertukar tragedi apabila dua beranak ditemui mati dalam kejadian pada Khamis.

Seorang anggota polis berpangkat Koperal, J Rajkumar, 35, ditemui mati selepas menembak anaknya, R Jevesh Kumar, 7, sebelum menembak diri sendiri dalam sebuah kereta di Taman Sentosa.

Menurut isterinya, S Jayathri, 38, sebelum kejadian, suaminya ada menghantar pesanan ingin berjumpa, namun setelah sejam menunggu akhirnya dia menerima panggilan telefon memaklumkan berita kematian suami dan anaknya.

Katanya, dia sangat terkejut dengan kejadian tersebut, dan tidak pernah menyangka kejadian buruk seperti ini berlaku terhadap keluarganya.

Jayathri memberitahu, hubungan dia dengan suami sebelum ini memang ada terdapat salah faham, namun tidak menyangka suami yang dikahwini sejak 10 tahun lalu melakukan perbuatan seperti itu.

"Kali terakhir saya berjumpa suami seminggu lalu, kerana ada berlaku salah faham, jadi saya tinggal di rumah mak di Taman Bidara.

"Namun semalam, dia beritahu mahu jumpa. Saya ingat dia mahu pujuk saya, tetapi sebelum itu dia maklumkan mahu selesaikan kerja terlebih dahulu, kemudian baru jumpa saya.

"Dia minta anak sulung tinggal di rumah untuk jaga nenek, dan hanya membawa anak bongsu kami kononnya mahu membeli makanan.

Artikel Berkaitan:

"Namun, sejam kemudian saya mendapat berita kematian mereka berdua," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Seri Pagi, di sini pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Koperal dipercayai tembak anak sebelum tembak diri sendiri

Tambahnya, luluh hati seorang ibu apabila anak yang dijaga selama tujuh tahun mati begitu sahaja.

Kata Jayathri, Jevesh yang sering dipanggil dengan nama manja, Thamby, merupakan seorang anak yang bijak.

"Jiran saya semuanya Melayu, Jevesh sangat baik dan mesra dengan semua orang.

"Saya tidak tahu bagaimana untuk terima semua kejadian ini, susah senang kami hadapi bersama, kami tidak pernah berpisah lama, kalau merajuk pun nanti dua tiga hari baik semula.

"Tetapi kali ini, memang jadi serius, tak sangka begini pengakhirannya hubungan kami sekeluarga," katanya.

Pada Khamis, seorang anggota polis dipercayai menembak anaknya berusia tujuh tahun sebelum menembak dirinya sendiri di tepi jalan di Taman Sentosa Jaya, di sini, pada jam 6.42 petang.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, mayat lelaki berusia 35 tahun dan anak lelakinya ditemui di dalam kereta jenis Proton Wira dengan kesan tembakan di kepala.