PKPB di Sarawak dilanjutkan hingga 12 April

PKPB di seluruh Sarawak akan dilanjutkan sehingga 12 April depan. - Foto 123RF
PKPB di seluruh Sarawak akan dilanjutkan sehingga 12 April depan. - Foto 123RF
A
A
A

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Jumaat mengambil keputusan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu hingga 11.59 malam 12 April.

Menurut kenyataan JPBN, keputusan untuk melanjutkan PKPB yang sepatutnya berakhir Isnin ini (29 Mac) dibuat apabila mendapati kes positif di Sarawak masih tinggi dengan 213 kes baharu dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini sebanyak 15,176.

“Hari ini Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan dua lagi kluster baharu iaitu Kluster Senadin di daerah Miri dan Kluster Batu Gong di Serian,” jelas kenyataan itu.

Berikutan penambahan kluster itu, kini terdapat 33 kluster Covid-19 yang masih aktif di negeri ini dengan lapan daripadanya mencatatkan peningkatan kes.

Jawatankuasa itu turut mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuat kuasa di Kampung Chupak dan Kampung Batu Gong, kedua-duanya di Serian masing-masing hingga 7 dan 8 April.

JPBN Sarawak turut mengambil keputusan mewajibkan penganjuran majlis perhimpunan sosial untuk tujuan pengebumian dilaporkan kepada pejabat daerah terdekat sebelum melaksanakannya dan mereka yang terlibat mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang ditetapkan.

“Ketua kaum dan ketua masyarakat juga dipohon membantu menguatkuasa SOP,” menurut JPBN dengan menjelaskan keputusan itu dibuat setelah kebanyakan kes positif penyakit itu berkaitan majlis pengebumian. - Bernama

Artikel Berkaitan: