Sultan Johor terima mengadap pengurusan kanan Proton

A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima mengadap pengurusan kanan Proton Holdings Berhad (Proton) di Istana Pasir Pelangi di sini, semalam.

Pertemuan Pengarah Pelaburan dan Promosi Proton, Mohd Khalid Yusof; Pengarah Jualan Korporat Proton, Fazli Hisham Shukor dan Pengurus Jualan negeri, Abdul Razak MD bersama Sultan Ibrahim berlangsung selama hampir 30 minit.

Selepas selesai majlis mengadap, Sultan Ibrahim turut berkenan meluangkan masa memandu Proton X70 Executive AWD milik baginda di sekitar Istana Pasir Pelangi.

Pada masa sama, Mohd Khalid turut menyampaikan taklimat kepada Sultan Ibrahim mengenai ciri-ciri yang sedia ada di dalam kenderaan itu.