'CCID Scam Response Center' perangi jenayah Macau Scam

Zainuddin Yaacob
Zainuddin Yaacob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menubuhkan pusat panggilan setempat 'CCID Scam Response Center' sebagai salah satu mekanisme untuk memerangi jenayah Macau Scam.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, tugas dan tanggungjawab pusat itu adalah orang ramai dapat berhubung dengan pihaknya untuk membuat pertanyaan berkaitan jenayah tipu panggilan atau Macau Scam.

"Pusat ini turut berfungsi sebagai penerima maklumat pertama (iaitu maklumat nombor telefon dan maklumat bank akaun yang diberikan oleh sindiket Macau Scam)," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Zainuddin berkata, pusat yang telah ditubuhkan pada 15 Februari lalu, turut membantu orang ramai mendapatkan pengesahan panggilan sama ada panggilan itu daripada pejabat kerajaan, Macau Scam atau panggilan daripada kegiatan scam lain.

"Pusat ini boleh dihubungi melalui talian 03-26101559 dan 03-26101599 setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 8 malam," katanya.

Mengulas lanjut, Zainuddin berkata, sebanyak 5,725 kes berkaitan Macau Scam dilaporkan pada 2019 dengan jumlah kerugian RM254.5 juta.

"Jumlah laporan kes meningkat pada tahun lalu iaitu sebanyak 6,003 kes dengan jumlah kerugian RM287.3 juta.

"Pada tahun ini sehingga Rabu lalu, kita menerima sebanyak 1,392 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM38.1 juta, ia merupakan peningkatan ketara dan perlu ditangani segera," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jenayah tipu panggilan atau Macau Scam merupakan antara modus operandi jenayah yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

"Kemudahan aplikasi 'voice over internet protocol (VIOP) telah digunakan penjenayah untuk menyembunyikan identiti sebenar mereka semasa menghubungi mangsa.

Menurutnya, terdapat pelbagai taktik yang digunakan oleh penjenayah untuk memperdayakan mangsa antaranya menyamar sebagai pegawai polis, mahkamah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

"Sindiket turut menyamar sebagai institusi kewangan dan perkhidmatan seperti agensi kutipan hutang, Telekom dan Pos Malaysia.

"Mereka juga menyamar sebagai ahli keluarga, rakan dan golongan kenamaan (VVIP) untuk menipu mangsa," katanya.

Zainuddin menyeru orang ramai agar memanfaatkan kemudahan pusat panggilan setempat itu bagi memastikan ancaman jenayah tipu panggilan dapat diatasi dan matlamat pencegahan dapat dicapai.

"Kita berharap orang ramai dapat bersama berganding bahu dengan pihak polis untuk memerangi kegiatan penipuan dalam talian," katanya.