Kabinet lulus Kinrara Oval terus operasi

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan Kabinet bersetuju memberikan kelulusan khas kepada Persatuan Kriket Malaysia (MCA) untuk meneruskan operasi di tapak asal pusat kriket nasional, Kinrara Oval.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan itu merupakan penyelesaian kepada kemelut melibatkan MCA dan pemilik tanah, Perumahan Kinrara Berhad (PKB) apabila tempoh pajakan bermula 1 November 2013 tamat pada 31 Oktober tahun lepas.

"KBS telah mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat termasuklah PKB. Lanjutan tempoh operasi akan dibincangkan melalui mesyuarat tiga hala di antara KBS, PKB dan MCA nanti dan satu penyelesaian bersama akan dipastikan agar dapat memberikan keputusan terbaik kepada semua pihak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Syed Saddiq, kelulusan khas itu diberi bagi memastikan pembangunan sukan kriket negara akan terus dibantu dan disokong demi kemajuan sukan negara.

Katanya, kerajaan komited terhadap pembangunan sukan kriket yang telah berkembang sejak sedekad lalu termasuk kepentingan prasarana sukan seperti Kinrara Oval yang cukup signifikan dengan sukan kriket Malaysia.

Kinrara Oval mempunyai kemudahan lengkap seperti ibu pejabat, asrama pemain serta gelanggang latihan dan MCA sudah melabur jutaan ringgit dalam membangunkan infrastruktur Kinrara Oval bagi memastikan kualiti gelanggang mencapai standard antarabangsa.

Untuk rekod, Kinrara Oval pernah menjadi tuan rumah beberapa temasya dan kejohanan bertaraf antarabangsa seperti Piala Dunia Bawah-19 tahun pada 2008 dan Sukan SEA 2017. - Bernama

Artikel Berkaitan: