Enam pemancing hilang ditemui selamat

Enam pemancing yang dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi sejak Isnin, ditemukan selamat di perairan Kuantan, Pahang.
Enam pemancing yang dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi sejak Isnin, ditemukan selamat di perairan Kuantan, Pahang.
A
A
A

KEMAMAN - Keluarga enam pemancing yang dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi sejak Isnin lalu bersyukur apabila kesemua mangsa ditemui selamat di perairan Kuantan, Pahang, pada Jumaat selepas gerakan mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga.

Rozita Ali, 49, berkata, beliau terlalu gembira sebaik sahaja dapat bercakap dengan anaknya, Mohamad Shahrul Ainmie Abdullah, 19 melalui telefon pada jam 11.30 pagi tadi.

"Anak cakap, dia dan lima yang lain berjaya diselamatkan nelayan di Kuantan dan kesemua mereka sihat-sihat sahaja. Anak pesan agar kami sekeluarga menunggunya di Kemaman. Cemas juga selagi tak jumpa berdepan nak tengok bagaimana keadaannya selepas empat hari hilang, namun daripada nada suaranya tadi memang boleh dengar dia sihat.

"Lega sangat rasanya sebab penantian selama empat hari ni berakhir dengan berita baik...syukur Alhamdulillah dapat kami berpuasa dan menyambut Aidilfitri bersama-sama," katanya ketika ditemui pemberita di jeti Kuala Kemaman di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian Isnin lalu, enam pemancing termasuk tekong iaitu Mohamad Hafizrul Hisyam Zakaria, 29; Mohamad Shamrin Suhaimi, 19; Muhamad Hazim Luqman Zakaria,19; Rosidi Mohamad, 22; Mohamad Shahrul Ainmie Abdullah, 19; dan Mohamad Zukarnain Mohamat Nor, 20, dilaporkan tidak pulang selepas mereka keluar ke laut.

Namun, kesemua mereka gagal dihubungi sejak petang Isnin menyebabkan keluarga membuat laporan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) pada Selasa dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dilancarkan sejurus selepas itu.

Sementara itu, Zakaria Mohamad, 56, berkata beliau seolah-olah bermimpi apabila menerima panggilan telefon dari dua anaknya selepas menunaikan solat Dhuha pagi tadi, memaklumkan mereka selama.

Dua anaknya iaitu Mohamad Hafizrul Hisyam, 29 dan Muhamad Hazim Luqman, 19 adalah antara enam pemancing tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Selesai sahaja solat, saya dengar bunyi panggilan telefon dan seakan tak percaya selepas melihat nama Muhamad Hazim naik di skrin telefon. Hazim beritahu mereka diselamatkan oleh nelayan yang membantu menunda bot mereka ke jeti berhampiran.

"Rasa tak sabar nak jumpa dua anak saya tu secara berdepan. Hilang gelisah dan saya berterima kasih sangat kepada semua agensi penyelamat yang telah bertungkus lumus dalam pencarian sejak Selasa lepas. Terima kasih juga kepada semua yang sudi mendoakan kebaikan untuk kami semua," katanya. - Bernama