Musa Aman tarik balik rayuan cabar pelantikan Shafie Apdal

Musa Aman menarik balik rayuannya di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar kesahihan pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah.
Musa Aman menarik balik rayuannya di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar kesahihan pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah.
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman menarik balik rayuannya di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar kesahihan pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid@Noordin Jahim juga menarik balik rayuannya terhadap perkara yang sama.

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Jahid memaklumkan panel tiga hakim mengenai penarikan balik kedua-dua rayuan berkenaan pada Jumaat.

Dalam prosiding mahkamah yang berlangsung secara dalam talian, Firoz memohon menarik balik rayuan itu atas alasan keadaan telah berubah setelah pilihan raya negeri telah diadakan dan kerajaan negeri yang baharu telah dibentuk.

Beliau berkata, adalah lebih wajar untuk memberi tumpuan kepada keharmonian dan ekonomi negeri serta menyokong kerajaan baharu berkenaan.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf yang mengetuai panel hakim itu kemudian membatalkan kedua-dua rayuan tersebut.

Beliau memerintahkan Musa yang diwakili peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad, membayar kos RM60,000 kepada Mohd Shafie dan Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, membayar kos RM20,000 kepada Mohd Shafie setelah peguam Datuk Dr Cyrus Das dan Datuk Douglas T. Lind yang mewakili Mohd Shafie memohon kos daripada mereka.

Peguam Besar Negeri Sabah, Brenndon Keith Soh dan Pegawai Undang-undang Chee Chun Yen dari Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah mewakili Gabenor Sabah, Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, Speaker DUN Datuk Seri Panglima Syed Abas Syed Ali dan Setiausaha Perundangan, Datuk Bernard J. Dalinting tidak memohon kos.

Artikel Berkaitan:

Dua lagi hakim ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh.

Pada 26 Ogos tahun lalu, Musa dan Jahid memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan bagi meneruskan rayuan berhubung hak jawatan Ketua Menteri Sabah setelah kes mereka ditolak di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Dalam prosiding pada Jumaat, Firoz juga memberitahu mahkamah bahawa Musa dan Jahid tidak boleh dikenakan kos kerana perkara itu merupakan kepentingan umum.

Das, bagaimanapun, berkata permohonan Musa dan Jahid untuk menarik balik rayuan tersebut agak lewat setelah masa telah ditetapkan untuk pihak-pihak mengemukakan hujah mereka.

Beliau berkata pertikaian antara Musa dan Mohd Shafie adalah berhubung hak untuk memegang jawatan Ketua Menteri yang merupakan pertikaian perlembagaan.

Sementara itu, Douglas berkata anak guamnya perlu diberikan kos kerana mereka hanya diberitahu mengenai penarikan pada 17 Mac lalu.

Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei 2018 setelah memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-14 tetapi kehilangan majoriti apabila beberapa ADUN daripada partinya (UMNO) dan komponen Barisan Nasional, UPKO, beralih memberi sokongan kepada Parti Warisan Sabah, yang dipimpin oleh Mohd Shafie.

Musa kemudian memfailkan saman pemula bagi mendapatkan perisytiharan mahkamah, antara lain, beliau adalah Ketua Menteri Sabah yang sah seperti yang dilantik.

Dalam samannya, Musa menamakan Juhar sebagai defendan pertama dan pengganti beliau, Mohd Shafie sebagai defendan kedua serta memohon perisytiharan bahawa pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri pada 12 Mei, 2018 adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Pada 7 November, 2018, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak saman Musa dan memutuskan bahawa pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah mengikut perlembagaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie, ketika itu, kini Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan Musa telah hilang keyakinan majoriti anggota Dewan apabila enam ADUN Sabah daripada BN-Sabah beralih memberi sokongan mereka kepada Mohd Shafie.

Rayuan Musa dan Jahid ditolak Mahkamah Rayuan pada 2019. - Bernama