Kawalan di Taman Guru bukan PKPD seperti ditularkan: Polis

Polis Kuantan bersama beberapa agensi lain menjalankan kawalan pencegahan di laluan keluar masuk Taman Guru, pada Jumaat
Polis Kuantan bersama beberapa agensi lain menjalankan kawalan pencegahan di laluan keluar masuk Taman Guru, pada Jumaat
A
A
A

KUANTAN - Tiada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Guru, di sini seperti ditularkan susulan kawasan itu menunjukkan peningkatan kes positif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, sebaliknya polis hanya menjalankan strategi pencegahan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di laluan utama keluar masuk ke taman perumahan itu.

"Saya ingin tegaskan sekatan ini bukan PKPD, tetapi hanya sebagai tindakan pencegahan bagi mengawal penularan Covid-19 di taman ini dari terus meningkat.

"Penduduk masih boleh keluar masuk seperti biasa. Jadi, kita minta kerjasama baik dari semua pihak bagi memastikan kelancaran sekatan jalan ini.

"Kita juga minta, kalau mereka (penduduk) boleh memberi kerjasama menyediakan dokumen sesuai bagi membolehkan petugas kita membuat semakan apabila keluar dari kawasan ini dan ia sangat mustahak," katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di kawasan Taman Guru, pada Jumaat.

Kawasan itu menempatkan seramai 1,500 hingga 2,500 penduduk membabitkan kawasan seluas 3.50 kilometer.

Lokasi kawalan pencegahan Covid-19 yang dilakukan polis Kuantan.
Lokasi kawalan pencegahan Covid-19 yang dilakukan polis Kuantan.

Mohamad Noor berkata, kawalan pencegahan dilakukan selama 24 jam itu membabitkan tiga pusat pemeriksaan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, seramai 58 anggota yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia ( Rela).

Artikel Berkaitan:

"Mereka ini akan bertugas secara bergilir-gilir mengikut masa ditetapkan sehingga jangkitan Covid-19 di kawasan ini terkawal," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Noor memberi jaminan bahawa pihak polis tidak akan menyusahkan penduduk dan meminta kerjasama diberikan kepada anggota yang bertugas.

"Penduduk tidak perlu bimbang, mereka masih boleh melakukan riadah tetapi perlu patuhi SOP," katanya.

Sehingga ini, 29 kes positif Covid-19 di Taman Guru dan 105 kes melibatkan kontak rapat satu.

Pada Khamis tular, satu edaran makluman mengenai PKPD di Taman Guru yang akan dilaksanakan berkuatkuasa pada Jumaat, jam 12.01 pagi sehingga 4 April depan.