Penganggur dituduh membunuh

Muhammad Firdaus dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh selepas dituduh membunuh seorang lelaki, tiga tahun lalu.
A
A

IPOH - Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Muhammad Firdaus Naim Thikayarajan, 24, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas M Serentharan, 26.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di belakang padang futsal berdekatan Jalan Kantan, Buntong pada jam 9 malam hingga 10 malam, 5 September 2016.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika disabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 29 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala tertuduh diwakili peguam Charan Singh.