Enam ditahan curi elektrik lombong bitcoin

Abdul Majid (tengah) bersama mesin mining bitcoin yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada Jumaat.
Abdul Majid (tengah) bersama mesin mining bitcoin yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Dua beradik antara enam individu yang ditahan selepas disyaki terbabit dalam pengubahan pendawaian elektrik secara haram bagi tujuan perlombongan mata wang bitcoin.

Kesemua yang berusia di antara 29 hingga 39 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan antara jam 12 tengah hari pada 16 Mac sehingga 3.30 pagi keesokkannya di Taman Sungai Petai Bahagia, Alor Gajah, Melaka dan di Puchong, Selangor.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, serbuan yang dilakukan di sebuah premis di Taman Sungai Petai Bahagia menahan empat lelaki termasuk seorang warga Indonesia yang sedang memunggah mesin bitcoin masuk ke dalam sebuah kenderaan.

Katanya, susulan itu polis kemudian membuat serbuan pada 17 Mac lalu dan berjaya menahan seorang wanita dan lelaki yang juga pasangan adik-beradik di Puchong, Selangor yang bertindak sebagai pengurus serta akauntan dalam kegiatan ini.

"Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah membuat serbuan.

"Hasil soal siasat mereka yang ditangkap pada serbuan pertama berjaya menahan dua beradik itu dan kita juga membuat beberapa siri serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) ke lima lagi premis di sekitar daerah Alor Gajah, Jasin dan Melaka Tengah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di Bukit Beruang pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian mesin mining bitcoin yang dirampas dianggarkan bernilai RM95,100.
Sebahagian mesin mining bitcoin yang dirampas dianggarkan bernilai RM95,100.

Hadir sama, Ketua JSJN Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman.

Mengulas lanjut Abdul Majid berkata, sebanyak 317 mesin mining bitcoin dianggarkan bernilai RM95,100 telah dirampas.

"Ekoran aktiviti itu, TNB menanggung kerugian kira- kira RM9 juta," katanya.

Menurutnya, operasi tersebut berjaya melumpuhkan satu sindiket mencuri arus elektrik dipercayai menggunakan 18 buah premis sebelum menutup dua belas buah premis yang lain.

"Susulan risikan dan tindakan tegas polis bersama TNB, kumpulan sindiket ini telah bertindak mengurang serta menutup operasi sehingga hanya enam yang masih beroperasi ketika serbuan dilakukan.

"Kita juga masih mengesan seorang lagi dalang bagi kegiatan itu yang merupakan abang kepada pasangan adik-beradik terbabit," katanya.

Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990.