Masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan RCEP: Azmin

Mohamed Azmin menyampaikan ucapan pada Program Rapat Malaysia Prihatin Peringkat Negeri Selangor, hari ini. - Foto Bernama
Mohamed Azmin menyampaikan ucapan pada Program Rapat Malaysia Prihatin Peringkat Negeri Selangor, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dengan menyatakan bahawa ia tidak akan memberi kebaikan kepada Malaysia, kata Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

RCEP yang dijadual diratifikasi pada tahun 2022 bakal menyediakan akses pasaran lebih besar kepada pemain tempatan dan peluang untuk mereka lebih berdaya saing di peringkat global, katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan oleh Global Development Policy Centre of Boston University yang menyatakan jumlah perdagangan negara akan menurun sebanyak 36 peratus setahun selepas pelaksanaan RCEP.

"15 anggota RCEP mewakili satu pertiga daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), justeru dengan memberi pendapat bahawa prestasi perdagangan Malaysia akan merosot...saya rasa terlalu awal untuk menyatakannya kerana RCEP membuka laluan akses pasaran yang lebih besar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rapat Malaysia Prihatin peringkat Negeri Selangor di sini pada Jumaat.

Penganjuran Rapat Malaysia Prihatin yang diadakan pada hari ini memberi peluang kepada komuniti ekonomi di Selangor untuk mendapat maklumat terkini mengenai inisiatif Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensinya dalam membantu melonjakkan ekonomi negeri tersebut.

Terdahulu Azmin dalam ucapan pada majlis itu berkata lebih daripada 662,000 pekerja dan 78,000 majikan di Selangor telah diselamatkan melalui Inisiatif Subsidi Upah dengan bayaran sebanyak RM3.28 bilion.

“Seramai 1.8 juta rakyat Selangor dalam kalangan B40 dan M40 telah menerima Bantuan Prihatin Nasional berjumlah RM2.8 bilion. Selain itu, kerajaan juga membela nasib hampir 180,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Selangor melalui Geran Khas Prihatin (GKP) berjumlah RM532 juta.

“Kira-kira 9,000 peniaga kecil di Selangor dibantu dengan pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bernilai RM136 juta,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: