Kemenangan bantu persiapan Jerman menjelang Euro 2020

Aksi Jerman ketika menentang Iceland pada aksi Kelayakan Piala Dunia Kumpulan J awal pagi Jumaat.
Aksi Jerman ketika menentang Iceland pada aksi Kelayakan Piala Dunia Kumpulan J awal pagi Jumaat.
A
A
A

PENGENDALI Jerman, Joachim Low menyifatkan kemenangan 3-0 skuad kendaliannya itu ke atas Iceland pada aksi Kelayakan Piala Dunia Kumpulan J awal pagi Jumaat bakal membantu menjelang saingan Euro 2020 musim panas nanti.

Menurut pakar taktikal berusia 61 tahun itu, skuad Die Mannschaft itu kini dilihat bersedia untuk mengharungi cabaran pada saingan Euro 2020 berdasarkan kepada aksi yang dipamerkan kesebelasan pemain ketika menewaskan skuad Strakarnir Okkar itu.

“Setelah tempoh rehat yang agak panjang, kita akhirnya berjaya membuktikan bahawa kita adalah pasukan yang lebih baik.

“Saya berpuas hati hampir di kesemua posisi. Kami memulakan perlawanan dengan begitu bertenaga dan dinamik.

“Kami beraksi dengan keazaman yang sikap yang betul dan pada separuh masa kedua kami melakukan terlalu banyak hantaran ke belakang hingga terlepas peluang untuk menambah jaringan,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan Leon Goretzka membuka jaringan buat Jerman seawal minit ke-3 sebelum Kai Harvertz menjaringkan gol kedua pada minit ke-7 dan bintang Manchester City, IIkay Gundogan mengesahkan kemenangan menerusi gol ketiga pada minit ke-56.

Bagaimanapun katanya, dia juga dapat menyaksikan beberapa kelemahan skuad kendaliannya itu yang perlu diatasi segera bagi mengharungi aksi kelayakan kali ini.

Mengulas mengenai aksi seterusnya, Low berkata dia masih melihat ada beberapa ruang yang perlu ditambah baik bagi memantapkan skuad kendaliannya.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, aksi berdepan Romania dan North Macedonia dilihat sebagai antara aksi yang perlu diberikan perhatian dalam usaha menjamin kejayaan.

“Kita akan berdepan dengan kedua-dua pasukan ini dalam masa terdekat dan saya akan melakukan yang terdaya untuk mencatatkan kemenangan,” katanya.