Kempen IOW sasar 90 peratus daftar vaksinasi orang asli di Perak

Mohd Taib (kiri) bersama Rumaizi sempena program ‘Signature’ Pusat Maklumat Rakyat di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini pada Jumaat.
Mohd Taib (kiri) bersama Rumaizi sempena program ‘Signature’ Pusat Maklumat Rakyat di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Jabatan Penerangan Perak menyasarkan pendaftaran sehingga 90 peratus bagi program imunisasi Covid-19 dalam kalangan masyarakat orang asli menerusi kempen ‘Info On Wheels’ (IOW).

Pengarahnya, Mohd Taib Ubah berkata, kempen berkenaan digerakkan di perkampungan orang asli seluruh negeri sebagai inisiatif membantu kerajaan negeri meningkatkan pendaftaran vaksinasi yang dilaporkan masih berada pada tahap rendah.

Menurutnya, langkah itu selaras dengan saranan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad yang mahu program pendaftaran vaksinasi itu diselaraskan di peringkat negeri dengan beberapa jabatan dan agensi kerajaan negeri serta kerajaan Persekutuan.

"Kita memberi fokus kepada masyarakat orang asli kerana difahamkan pendaftaran mereka untuk vaksinasi kurang sedikit.

"Jadi melalui program IOW bersama perkhidmatan Pusat Maklumat Rakyat (PMR), kita akan turun ke lapangan di setiap daerah khususnya kawasan pedalaman untuk membantu daftar masyarakat yang kurang faham mengenai pendaftaran vaksinasi ini," katanya kepada pemberita sempena program ‘Signature’ Pusat Maklumat Rakyat di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Mohd Taib berkata, kempen pertama program itu dimulakan esok membabitkan penduduk di Kampung Sungai Air Karah, Lenggong sebelum diteruskan ke daerah lain.

Artikel Berkaitan:

Mohd Taib (kiri) bersama Rumaizi menyantuni pengunjung UTC Perak dalam meningkatkan kesedaran mengenai daftar vaksinasi.
Mohd Taib (kiri) bersama Rumaizi menyantuni pengunjung UTC Perak dalam meningkatkan kesedaran mengenai daftar vaksinasi.

Katanya, pelaksanannya membabitkan kolaboratif bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Menerusi program ini kita akan cuba sedaya upaya mendapatkan daftar vaksinasi seramai mungkin, kalau boleh mencapai sekurang-kurangnya 90 peratus penduduk orang asli di negeri ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kesemua 13 Pusat Maklumat Rakyat (PMR) dan satu yang beroperasi di UTC akan menyediakan bantuan kepada masyarakat yang ingin mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin.

Katanya, sejak dilancarkan awal minggu lepas, tidak kurang 50 pendaftaran berjaya dilakukan di negeri ini.

"Dengan usaha dan perkhidmatan disediakan ini, kita harap dapat membantu sekurang-kurangnya lima ke 10 orang mendaftar vaksinasi setiap hari.

"Melalui cara ini kita dapat membantu kerajaan negeri mencapai sasaran daftar vaksinasi lebih cepat," katanya.