Undi 18: Keputusan SPR mengejutkan

Mohd Hairi Mad Shah - Foto Facebook Mohd Hairi
Mohd Hairi Mad Shah - Foto Facebook Mohd Hairi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menjangkakan Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18 hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 dilihat mengejutkan, walaupun perkara itu sudah diluluskan di Parlimen.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, keputusan itu secara langsung akan membuatkan Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi 18 tidak akan dilaksanakan jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dijalankan sebelum September 2022.

Menurutnya, apa yang lebih mengejutkan, alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 secara langsung telah menjejaskan perancangan dan persiapan SPR disifatkan sebagai alasan 'kurang bijak'.

“Saya hendak tahu juga sepanjang PKP dahulu, semua kakitangan SPR tidak bekerja sehingga hari ni ke?

“Sepatutnya apabila bekerja dari rumah atau waktu kerja fleksibel membolehkan lebih banyak waktu dihabiskan untuk perancangan dan membuat kajian terperinci, sedangkan sarjana pun boleh menghasilkan banyak penulisan akademik dan jurnal ketika PKP.

“Apa kekangan dan isu yang menjejaskan perancangan yang dimaksudkan SPR? Tolong perincikan. Kalau setakat buat kenyataan umum seperti ini, lebih banyak spekulasi yang akan timbul,” katanya dalam kenyataan di laman facebooknya pada Khamis malam.

Jelas Mohd Hairi, pihaknya yakin kenyataan itu dibuat disebabkan Perikatan Nasional (PN) dilihat takut dengan gerakan Pemuda UMNO yang agresif, selain kerap membuat 'engagement' untuk mendekati dan menarik golongan muda.

Malah katanya, kebanyakan desakan dan kritikan juga bermula daripada Ketua Pemuda UMNO yang lantang bersuara dan kumpulan anak muda ini mahu suara mereka diangkat, sehingga membuatkan PN takut.

Artikel Berkaitan:

“Sekat dan buatlah alasan apa pun, kalau anak muda mahu bangkit, tiada apa alasan dan batu penghalang yang mampu menyekat kemaraan idea serta suara anak muda,” katanya.