ProSPEC U.n.i Klinik cecah nilai jualan RM2.6 juta

Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf menyempurnakan perasmian rangkaian U.n.k Klinik di Behrang pada Khamis.
Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf menyempurnakan perasmian rangkaian U.n.k Klinik di Behrang pada Khamis.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) U.n.i Klinik yang memulakan operasi pada awal 2019 lalu telah mencapai nilai jualan memberangsangkan mencecah RM2.6 juta.

Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, pelaksanaan program yang dilancarkan pada Julai 2018 itu juga telah membuka sebanyak 93 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

"Sejak program ini dilancarkan, sebanyak 35 rangkaian U.n.i Klinik berjaya dibangunkan di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk satu di Sarawak dengan keseluruhan nilai pembiayaan disalurkan RM10.8 juta," kata kenyataan tersebut.

Kenyataan sama turut mengumumkan pembukaan rangkaian terbaharu U.n.i Klinik di Behrang yang akan memulakan operasi secara rasmi pada April ini.

U.n.i Klinik dimiliki Dr Nurul Hidayah Yahaya yang berpengalaman selamalapan tahun dalam bidang perubatan dan pernah bekerja di Hospital Kuala Lumpur itu akan menawarkan perkhidmatan diagnostic, rawatan bagi penyakut akut dan kronik, rawatan susulan, servis berkhatan dan lain-lain perkhidmatan yang dijangka memenuhi keperluan penduduk setempat.

"Dr Nurul Hidayah merupakan peserta ProSPEC yang telah berjaya melalui fasa latihan keusahawanan berstruktur termasuk menghadiri seminar serta mendapat konsultasi dan khidmat nasihat.

"Program ini turut dilengkapkan dengan sokongan pembiayaan perniagaan serta pemantauan prestasi syarikat bagi memastikan kemampanan perniagaan usahawan terlibat," katanya.

ProSPEC merupakan program yang dibangunkan bagi meningkatkan penyertaan usahawan serta pegangan ekuiti Bumiputera dalam bidang profesional seperti perubatan, farmasi, kejuruteraan, guaman, perakaunan, seni bina dan juru ukur bahan.

Artikel Berkaitan:

ProSPEC juga memberi galakan kepada lepasan Institusi Pendidikan Tinggi Mara (IPMA), Universiti Awam, Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) khususnya pelajar tajaan Marauntuk menceburi bidang perniagaan.

Selain itu, Mara menerusi ProSPEC bukan sahaja membangunkan U.n.i Klinik tetapi berjaya membangunkan 10 rangkaian U.n.i Farmasi dan kini dalam proses membangunkan U.n.i Dental.