Saksi dedah anggota bomba dipukul

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Saksi kelapan inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim mendedahkan ada seorang anggota bomba dipukul oleh perusuh dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, November lalu.

Menceritakan semula kejadian tersebut kepada Mahkamah Koroner, S Suresh berkata, ketika itu, dia sedang menuju ke pakir motosikalnya di Jalan Usaha selepas Fire Rescue Tender (FRT) keluar dari lokasi.

"Di situ sekumpulan individu yang berkumpul di tepi bahu jalan dan saya nampak ada seorang lelaki memakai seluar celoreng dan bersandar pada kenderaan dengan kaki berlunjur.

"Dalam keadaan orang berkumpul itu ada yang cuba pukul (anggota bomba) dan ada yang menghalang," katanya menjawab pemeriksaan balas peguam keluarga Muhammad Adib, Kamaruzaman Abdul Wahab.

Menurutnya, dalam keadaan bertolak- tolak, dia terjatuh ke atas kaki anggota bomba itu manakala tangan Suresh memegang bumper kereta.

"Pada waktu itu, satu sepakan terkena pada bahu kanan saya.

"Kemudian ada seorang lelaki berbadan besar datang cuba membesarkan ruang tersebut," katanya.

Dia kemudian bangun dan berjumpa dengan rakannya R Narresh di parkir motosikal.

Artikel Berkaitan:

"Dia (Narresh) tanya saya apa yang terjadi, saya cakap ada bomba kena pukul," katanya.

Menurutnya, sewaktu sekumpulan individu termasuk Narresh mengusung anggota bomba itu untuk di bawa ke hospital, dia mendengar ada seseorang berkata:

"Bomba pun nak kena pukul ke?" katanya.

Katanya, dia bersama tiga rakan lagi menuju ke sebuah hospital di Subang Jaya selepas dimaklumkan Narresh.

"Sampai di hospital saya nampak beberapa anggota bomba berada di bahagian kecemasan," katanya.

Prosiding hari kelima di hadapan Rofiah Mohamad bersambung dengan saksi kesembilan sedang memberi keterangan.