PAU 2020 dijangka 'panas'

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Esok, bermulalah Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 selama dua hari, selepas setahun ditangguhkan susulan Covid-19 dan sudah pastinya ia merupakan perhimpunan penting buat parti itu dalam menentukan hala tujunya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini termasuklah untuk mendapatkan keputusan sebulat suara perwakilan terhadap ketetapan yang diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, iaitu untuk tidak lagi bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRU15.

Ia diakui Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, bahawa usul memutuskan kerjasama dengan Bersatu merupakan usul yang mendominasi perjalanan perhimpunan agung berkenaan.

“Daripada 1 hingga 3 Januari tahun ini kita telah mengadakan sebanyak 760 mesyuarat perwakilan meliputi Pemuda, Wanita, Puteri dan Bahagian, kecuali Bahagian Tanah Merah, Kelantan yang digantung dan kesemuanya dilaksanakan di 190 bahagian.

“Usul utama daripada 190 bahagian itu ialah 124 bahagian menyebut supaya tiada kerjasama dengan Bersatu...ini usul utama,” katanya dalam temu bual di sini pada Selasa lalu.

UMNO sebelum ini telah mengutuskan surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu, untuk memaklumkan tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU15, namun berpendapat kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Dengan pelbagai isu yang melanda politik tanah air ketika ini, perhimpunan UMNO kali ini boleh dikatakan 'panas’ dan dijangka akan menarik minat ramai pihak termasuk penganalisis politik untuk mengikuti perkembangan dan pendirian parti itu yang telah menginjak usia 75 tahun.

Sudah pasti, selain isu memutuskan kerjasama dengan Bersatu, turut diberikan tumpuan adalah mengenai pendirian UMNO terhadap Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk bersama Pas.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana parti Islam itu kini adalah sebahagian daripada komponen PN yang turut dianggotai Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan terbaharu Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Ahmad berkata, ia merupakan usul kedua tertinggi yang akan dibincangkan dalam perhimpunan berkenaan, mengatasi usul-usul lain seperti pendidikan, ekonomi dan agama.

“Ada usul-usul lain seperti ekonomi, pendidikan dan agama, namun tidak berapa menonjol. Tetapi dua usul politik ini yang mendominasi segala usul-usul yang ada,” katanya.

Satu lagi perkembangan yang menarik untuk diberi perhatian adalah kenyataan daripada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 12 Mac lalu yang dilapor sebagai berkata, keputusan yang dibuat oleh MKT UMNO itu hanya boleh diubah menerusi Perhimpunan Agung UMNO.

Mengulas mengenai perkara itu, Ahmad Maslan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, tiada mana-mana bahagian yang mengemukakan usul untuk mengubah keputusan MKT setakat ini.

“Setakat ini saya tak pernah dengar lagi perwakilan menyatakan tidak setuju (dengan usul yang dibawa). Itu tradisi UMNO. Selepas perwakilan kata setuju, maka luluslah usul-usul yang disebut itu,” katanya yang turut menjelaskan bahawa keputusan diputuskan parti dipersetujui secara konsensus, oleh semua ahli MKT selepas bermesyuarat lebih daripada enam jam, 19 Februari lalu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pontian itu juga menegaskan kebersamaan UMNO dan BN dalam kerajaan adalah untuk menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin dan tidak pernah bersama menyertai PN.

“UMNO tidak pernah bersama dengan PN dan hanya menyerahkan ahli Parlimen UMNO dan ahli Parlimen BN untuk menyokong kerajaan. Ini kerana kami telah mempunyai BN.

“Untuk menjadi satu lagi komponen parti (di dalam PN), ia tidak sesuai kerana BN telah wujud sejak sekian lama dan kami menetapkan UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kekal di dalam BN,” katanya.

Perhimpunan Agung UMNO diadakan secara hibrid yang menggabungkan kehadiran fizikal ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dan secara maya di 190 bahagian di seluruh negara, kecuali Sarawak.

Perhimpunan parti terbesar orang Melayu itu, akan diadakan dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu, mengimbas MySejahtera dan sanitasi tangan.

Ia akan dimulakan dengan perasmian serentak persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka pada Sabtu, dan acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa di Plaza Merdeka serta ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada keesokannya.

Tidak seperti kelaziman, perhimpunan kali ini tidak menjemput pemerhati awam dan bukan perwakilan, serta tiada gerai jualan dan kenderaan tamu saji dibenarkan beroperasi sepanjang perhimpunan berlangsung.

Perhimpunan berkenaan menerima permohonan liputan daripada 42 agensi media cetak dan elektronik. - Bernama