Perlu saling memberi dalam rumah tangga untuk bahagia - Ustaz Akashah

Ustaz Wan Akashah
Ustaz Wan Akashah
A
A
A

Kata orang kalau dah suka, apa saja nampak sempurna di mata. Begitu juga dengan cinta hawa dan adam. Tiada istilah jarak usia, kalu dah suka sama suka, muda atau berumur bukan halangan.

Bagaimanapun, Pakar Rujuk Keluarga dan Pendidikan, Snbkasih Traning and Consultant, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid, mempunyai pandangan beliau sendiri.

Menurutnya, perkahwinan lelaki dengan wanita berusia ini ada tiga sebab.



  • Pertama kerana cinta


  • Kedua, mungkin kerana wanita itu sudah ada kerjaya dan dia selesa bersama dengan wanita itu.


  • Ketiga wanita itu nampak matang dan keibuan.
"Orang yang ada kerjaya mereka lebih bergaya, pandai berkomunikasi dan bersifat keibuan. Itulah pesona wanita berusia membuatkan lelaki terpikat untuk dijadikan calon isteri," katanya.

Menurutnya, Siti Khadijah ra dan Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam memilih pasangan lebih berusia ini. Rasulullah ketika itu berusia 25 tahun dan Khadijah berusia 40 tahun. Pada ketika itu Khadijah yang melamar Nabi bukan sebaliknya. Khadijah yang menawarkan diri untuk menjadi isteri kepada Rasulullah selepas tertarik dengan integriti dan sikap amanah yang ada pada Nabi.

"Sebabnya, semasa nabi menjalankan perniagaan milik Khadijah, keuntungan yang diperoleh berlipat kali ganda, berbanding mereka yang menjalankan perniagaan sebelum ini. Sudah jodoh yang ALLAH tetapkan, di mana Khadijah tiada tolok bandingannya, seorang rupawan, dermawan dan hartawan.

"Takdir ALLAH SWT, Khadijah telah membelanjakan seluruh hartanya untuk perkembangan Islam. Jodoh yang kuat ini sehinggakan Khadijah wafat, Nabi masih terkenangkan Khadijah, atas segala pengorbanan dirinya itu,” cerita Ustaz Akashah.



Dalam memilih calon isteri, Ustaz Akashah suka menerangkan empat faktor atau KPI yang boleh diikuti,


  1. Rupawan


  2. Berharta


  3. Keturunan baik


  4. Beragama
Nabi mengingatkan umatnya untuk memilih yang beragama, pasti kamu akan bahagia.

Katanya lagi, tidak salah memilih kerana empat faktor itu, jika wanita itu tidak cukup empat faktor, tiga sudah mencukupi termasuk sekali ciri beragama. Tetapi jika suami sudah ada asas agama yang cukup tidak salah memilih isteri daripada tiga faktor lain. Yang mana suami yakin mampu mendidik dan membentuk isteri.

Menurutnya, sebagai seorang suami, ketika berhadapan dengan isteri lebih berusia, suami perlu faham kelebihan mereka ada segala-galanya; dari segi harta, kerjaya dan umur, pasti lebih banyak pengalaman. Ditambah kaum wanita ini ALLAH SWT bagi satu perasaan, iaitu dia boleh rasa, perkara itu betul atau salah. Tidak salah suami ikut isteri jika perkara itu betul. Namun sebaiknya keputusan rumah tangga perlu ada perbincangan bersama.

Artikel Berkaitan:

“Begitu juga tidak salah seorang suami sanggup berhenti kerja apabila gaji isteri lebih besar. Dia mengambil keputusan untuk menjaga sepenuhnya penghormatan isteri dan kebajikan anak-anak. Pergi dan ambil isteri pulang dari kerja. Jangan suami hanya tahu makan dan tidur sahaja. Jangan ambil kesempatan dan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami. Itu Islam tidak benarkan.

“Dalam kes suami ambil duit isteri, tidak salah jika isteri reda. Itu dianggap sedekah dalam rumah tangga. Dalam rumah tangga, kita kena banyak memberi baru kita bahagia. Kadang-kadang suami isteri selalu bertanya apa hak aku dalam rumah tangga yang dibina. Sedangkan dia tidak pernah memberi.

Sebenarnya apa yang kita beri pada pasangan itulah yang kita akan dapat. Jika kita beri kebahagiaan, kita akan dapat bahagia,” akhiri Ustaz Akashah.