Undi 18: Armada kesal keputusan SPR

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kesal dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung penundaan pelaksanaan Undi 18 ke tahun hadapan.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bagaimanapun berkata, pihaknya faham SPR perlu meneliti kaedah yang sesuai berhubung pelaksanaan tersebut.

“Armada kesal dengan keputusan SPR berkenaan penundaan pelaksanaan Undi 18 dari Julai 2021 ke September 2022.

“Armada kekal berpendirian bahawa pelaksanaan penurunan had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun tetap perlu dilaksana seperti dirancang.

“Bagaimanapun, Armada memahami bahawa SPR perlu meneliti kaedah paling sesuai untuk memastikan bahawa kemasukan pengundi baharu yang berumur 18 hingga 21 tahun dibuat dengan baik supaya tidak timbul kekeliruan pada hari mengundi kelak,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, Armada bersedia untuk bekerjasama dengan semua agensi kerajaan bagi mempercepat proses itu.

Wan Ahmad Fayhsal menambah, satu pelan menyeluruh berhubung pelaksanaan Undi 18 perlu segera dibentangkan kepada orang awam untuk proses semak dan imbang.

Artikel Berkaitan: