Tokan dadah, ketum dicekup

Dadah jenis heroin dan syabu yang dirampas polis dalam kejadian di tepi jalan Kampung Selamat, Tasek Gelugor pada Khamis.
Dadah jenis heroin dan syabu yang dirampas polis dalam kejadian di tepi jalan Kampung Selamat, Tasek Gelugor pada Khamis.
A
A
A

KEPALA BATAS - Gerak-geri mencurigakan seorang lelaki di tepi jalan Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini akhirnya membongkar kegiatan pengedaran dadah, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki warga tempatan berusia 28 tahun itu ditahan bersama 456 gram dadah dipercayai jenis heroin dan tujuh peket lut sinar yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 194 gram.

"Ketika ditahan lelaki terbabit dipercayai sedang menunggu pelanggannya untuk menyerahkan dadah. Pemeriksaan dibuat ke atasnya menemui dadah berkenaan yang dianggarkan bernilai RM24,400.

"Kita turut merampas motosikal suspek jenis Yamaha 125zr dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Noorzainy berkata, semakan dibuat mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini direman untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah.

Sementara itu dalam kes berasingan, Noorzainy berkata, pihaknya menahan dua lelaki dalam serbuan berasingan kerana terlibat dengan kegiatan memproses serta pengedaran air ketum di kawasan Sungai Puyu dan Kampung Baru, Tasek Gelugor pada Khamis.

Menurutnya, serbuan dilakukan bermula jam 11 pagi itu merampas 31,250 mililiter cecair ketum dan 30 kilogram daun kering dipercayai daun ketum.

Artikel Berkaitan:

Turut dirampas peralatan untuk memasak air ketum seperti periuk, tong dan dapur gas.

Katanya, cecair dan daun ketum dirampas dianggarkan bernilai RM770 dan semakan dibuat mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kedua-dua suspek berusia 27 dan 42 tahun kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.