Umat Islam perlu istiqamah pertahan kalimah ALLAH

Mohd Tamyes Abd Wahid
Mohd Tamyes Abd Wahid
A
A
A

SHAH ALAM - Umat Islam di Selangor diminta terus istiqamah mempertahankan kesucian Islam dan keluhuran kalimah ALLAH daripada disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu hingga boleh mengancam akidah.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, umat Islam dan bukan Islam hendaklah menghormati keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang diwartakan pada 18 Februari 2010.

Menurutnya, fatwa itu secara jelas menegaskan bahawa lafaz ALLAH merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam serta tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

"Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat penghinaan atau unsur-unsur penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan medianya pada Jumaat.

Mohd Tamyes berkata, setiap fatwa yang diwartakan adalah mengikat seluruh orang Islam di negeri berkenaan dan hendaklah diiktiraf oleh mahkamah di negeri tersebut.

"Umat Islam sewajarnya menyokong setiap usaha untuk melarang penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam dalam konteks yang salah, dengan tujuan untuk membanteras kekeliruan dalam masyarakat apabila dipaparkan terminologi yang tidak betul, apatah lagi digunakan oleh mereka yang mempunyai agenda negatif terhadap agama Islam," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Tamyes berkata, pihaknya menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Selasa lalu yang melarang penggunaan kalimah ALLAH dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan penulisan bagi agama Kristian di dalam negeri ini.

"Kalimah ALLAH merupakan kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dan memiliki segala sifat kesempurnaan sepertimana yang ditegaskan oleh ALLAH SWT di dalam surah al-Ikhlas ayat 1 hingga 4," katanya.

Artikel Berkaitan: