Gesaan UMNO hanya untuk provokasi

Muhammad Amiin Ridhuwan Ab Aziz
Muhammad Amiin Ridhuwan Ab Aziz
A
A
A

KOTA BHARU – Tindakan UMNO Kelantan yang mahu Pas membuat keputusan segera berkaitan dengan hubungan bersama Bersatu disifatkan sebagai satu provokasi yang boleh mengeruhkan situasi dan kestabilan politik negara.

Ketua Armada Bersatu Kelantan, Datuk Muhammad Amiin Ridhuwan Ab Aziz berkata, ia juga boleh mengundang kepada perpecahan orang Melayu di saat kerajaan sedang berhadapan dengan cabaran pandemik Covid 19 di negara ini.

“Gesaan ini secara tidak langsung membuktikan bahawa UMNO lebih berminat untuk mengajak rakyat khususnya pengikutnya untuk terus bersentimen dengan ukuran kuasa dan pengaruh politik.

“Ia jelas satu usaha tidak matang dan kurang bertanggungjawab. Seharusnya semangat untuk membina bersama negara dan memulihkan kemelut politik yang telah sama-sama dipersetujui ketika menubuhkan gabungan Perikatan Nasional perlu terus dipegang dan diperkasa oleh semua gabungan parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, UMNO negeri mahu Pas membuat keputusan segera melibatkan hubungan politiknya dengan Bersatu bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Gesaan tersebut mendapat respon pelbagai pihak terutama pemerhati politik yang melihat ia tidak lebih kepada provokasi yang boleh memecahbelahkan hubungan pemimpin parti politik negara ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Amiin berkata, ketika inilah sebenarnya rakyat ingin melihat keikhlasan setiap parti dalam membela nasib rakyat lebih-lebih lagi di saat seluruh rakyat terkesan dengan impak Covid 19.

“Namun setelah apa yang telah diutarakan oleh UMNO Kelantan dan segelintir pimpinan UMNO terutama yang disabitkan dengan tuduhan mahkamah, ia jelas memperlihat kepada kekecewaan mereka terhadap tuntutan mereka yang tidak diendahkan oleh pimpinan negara.

Artikel Berkaitan:

“Biar apa tohmahan serta ugutan UMNO namun yang jelas bagi Bersatu ialah kesejahteraan rakyat terpelihara di kala berhadapan dengan pandemik Covid 19 dan penyatuan orang Melayu pasca PRU14.

“Dalam berjuang dan bersahabat kita seharusnya ikhlas dan jujur. Menerima kelebihan dan kekurangan yang ada pada rakan kita. Jangan kita hanya mencari rakan ketika kita lemah dan rebah namun setelah kita sihat dan gagah kita mula membuka tari pertelingkahan.

“Suka saya ingatkan setiap parti yang bersama Perikatan Nasional serta membentuk Kabinet negara ketika ini punyai sumbangan sama besarnya dari setiap sudut. Marilah kita bersama kukuhkan ukhwah dan berusaha menyatu padukan kembali perpecahan yang berlaku kepada bangsa Melayu.

“Ketepikan kepentingan individu dan utamakan kemaslahatan rakyat. Fokus untuk membantu rakyat dan mematahkan hujah pembangkang demi Malaysia yang lebih syumul,” katanya.