Covid-19: Lebih banyak wilayah di Perancis dikenakan sekatan

Perancis kenakan sekatan lebih ketat di tiga wilayah berisiko tinggi bagi mengekang penularan Covid-19. - Foto Fail Reuters
Perancis kenakan sekatan lebih ketat di tiga wilayah berisiko tinggi bagi mengekang penularan Covid-19. - Foto Fail Reuters
A
A
A

PARIS - Perancis mengenakan sekatan lebih ketat di tiga wilayah yang berisiko tinggi iaitu Rhone, Aube dan Nievre dalam usaha mengekang gelombang ketiga pandemik Covid-19.

"Situasi wabak tidak baik. Trend meningkat hampir di kebanyakan kawasan di Perancis," kata Menteri Kesihatan, Olivier Veran pada Khamis lapor Agensi Berita Xinhua.

Bermula tengah malam Jumaat, perjumpaan di luar rumah terhad kepada enam orang di ketiga-tiga wilayah itu dan perjalanan waktu siang tidak melebihi 10 kilometer (km) dari rumah.

Rentas wilayah tidak dibenarkan tetapi sekolah tetap diteruskan dengan protokol kesihatan lebih ketat.

Sekatan baharu itu berkuat kuasa sekurang-kurangnya empat minggu.

Minggu lalu, sekatan sama dikenakan di 16 wilayah termasuk Paris dan kawasan sekitarnya.

Dalam taklimat mingguan mengenai situasi Covid-19, Veran berkata, dalam beberapa hari akan datang, tekanan kesihatan dijangka terus meningkat terutama di wilayah Paris yang dianggap "kritikal."

Pada Khamis, seramai 45,641 orang lagi dijangkiti Covid-19 dengan peningkatan tertinggi dalam sehari sejak 17 November 2020.

Artikel Berkaitan:

Sejak wabak mula dikesan di Perancis, kira-kira 4,424,087 orang sudah dijangkiti dan 93,378 pesakit meninggal dunia.

Kira-kira 160 pesakit dimasukkan ke hospital dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan 27,036 manakala daripada jumlah itu, 4,709 ditempatkan di unit rawatan rapi.

Veran berkata, Perancis kini berada di fasa gelombang baharu.

Bagaimanapun, beliau berharap keadaan akan pulih secara beransur-ansur menjelang musim panas hasil daripada program vaksinasi.

Setakat ini, 7,168,437 penduduk negara ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan atau 13.6 peratus daripada populasi dewasa.

Kira-kira 2,610,990 lagi telah disuntik kedua-dua dos, mewakili 5.0 peratus penduduk dewasa.

Perancis menyasarkan menyuntik 10 juta rakyatnya menjelang pertengahan April, 20 juta pertengahan Mei dan 30 juta lagi atau dua pertiga dewasa, pada musim panas.

Empat vaksin akan digunakan iaitu yang dihasilkan Pfizer/BioNTech, Moderna, Johnson & Johnson dan AstraZeneca. - Bernama