Migrasi paip punca tiada air di sekolah

Gambar yang ditularkan di laman sosial pada Khamis yang menunjukkan pelajar di benarkan pulang ke rumah masing-masing disebabkan sekolah berdepan masalah ketiadaan air.
Gambar yang ditularkan di laman sosial pada Khamis yang menunjukkan pelajar di benarkan pulang ke rumah masing-masing disebabkan sekolah berdepan masalah ketiadaan air.
A
A
A

KOTA BHARU - Punca ketiadaan air di Sekolah Kebangsaan Merbau di sini pada Khamis adalah disebabkan oleh kerja-kerja migrasi paip baharu melalui projek Penukaran Paip Tahun 2018.

Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Azuhan Mohamed dalam satu kenyataan di sini memberitahu, keadaan tersebut berlaku apabila paip baharu telah diaktifkan dan aliran air di paip lama telah dikurangkan.

“Penyambungan premis-premis ke paip baharu sedang dijalankan secara berperingkat dan pada hari kejadian, sekolah tersebut masih belum lagi disambung ke paip baharu dan aliran air di paip lama tidak memasuki tangki di berkenaan.

“Sebaik sahaja AKSB menerima aduan ketiadaan air tersebut, tindakan segera telah diambil oleh kontraktor dan kerja-kerja menyambung paip baharu ke sekolah berkenaan telah selesai sekitar jam 2.30 petang dan air telah memasuki tangki sekolah pada hari yang sama,”katanya.

Pada Khamis tular di media sosial gambar yang menunjukkan pelajar sebuah sekolah di sini didakwa mendapat arahan untuk pulang ke rumah masing-masing selepas sekolah terbabit dipercayai berdepan masalah ketiadaan air.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Azuhan melalui kenyataan yang sama memaklumkan, isu penularan gambar tersebut juga didakwa sebagai tidak benar kerana gambar itu dikatakan diambil semasa waktu tamat persekolahan pada Rabu.

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan pihak sekolah pada hari yang sama dan penularan gambar di media sosial tersebut adalah gambar yang telah diambil oleh seorang guru pada waktu pelajar pulang pada 24 Mac.

“Guru berkenaan menegaskan yang beliau tidak menular berita ketiadaan air di sekolah tersebut. Pihak sekolah juga menyedari yang air AKSB tidak memasuki tangki pada Rabu dan tiada tindakan diambil kerana air masih mencukupi untuk kegunaan harian kerana kebiasaannya tangki akan penuh di sebelah malam.

Artikel Berkaitan:

“Namun, pada pagi Khamis, pelajar yang menggunakan tandas telah membuat aduan kepada guru berhubung perkara itu sebelum pihak pengurusan sekolah mendapati tangki air telah kosong.

“Justeru pihak pengurusan sekolah telah membuat keputusan untuk mengarahkan pelajar pulang awal bagi mengelakkan situasi ketiadaan air bertambah buruk,” katanya.