X

Kindly register in order to view this article
!

Ops SAR enam pemancing: Maritim mohon bantuan Indonesia, Vietnam

Bot nelayan kelas A Ini dinaiki enam sekawan untuk keluar memancing di laut pada Isnin. - Foto ihsan Maritim Malaysia
A
A

KEMAMAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) memohon bantuan pasukan penyelamat dari Indonesia dan Vietnam dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan enam pemancing termasuk tekong yang dikhuatiri hilang di perairan Kemaman sejak Isnin lalu.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abdul Rashid berkata, ia antara usaha pihaknya dalam meneruskan pencarian sekiranya bot tersebut hanyut ke perairan negara jiran.

"Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) di Putrajaya telah memaklumkan kepada semua agensi menyelamat negara jiran iaitu Vietnam dan Indonesia dengan mengeluarkan notis mengenai kehilangan bot nelayan tempatan tersebut," katanya kepada pemberita di sini.

Mangsa yang masih hilang dalam kejadian itu ialah tekong Mohd Hafizrul Hisham Zakaria, 29 dan lima pemancing Mohd Shamrin Suhaimi, 29, Muhamad Hazim Luqman Zakaria, 19, Rosidi Mohamad, 22, Mohamad Shahrul Ainmie Abdullah, 19, dan Mohamad Zukarnain Mohamat Nor, 20.

Kesemua mereka dikatakan pergi memancing ke laut dalam pada Isnin lalu dan dijadualkan pulang pada keesokannya (Selasa) namun kesemua mereka gagal dihubungi pada petang Isnin, menyebabkan keluarga membuat laporan kepada APMM.

ARTIKEL BERKAITAN: Enam pemancing dikhuatiri hilang di laut

Mengulas lanjut, Rashidilhadi berkata, bagi pencarian hari ketiga SAR pagi ini (Jumaat), usaha akan diteruskan dengan pertambahan lebih banyak aset dari Tentera Laut Diraja Malaysia dan Polis Marin.

"Semalam (Khamis), dua aset laut Maritim Malaysia iaitu kapal KM Pekan dan KM Gemia telah membuat pencarian di sektor 342 batu nautika persegi manakala pesawat udara AS365N3 Dauphin dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) telah melakukan dua penerbangan di kawasan 220 batu nautika persegi.

"Namun, Ops SAR yang berakhir pada jam 7 petang, masih gagal temui sebarang petunjuk yang boleh membawa kepada penemuan mangsa," katanya menambah kawasan pencarian pada Jumaat akan diperluaskan sehingga ke perairan Rompin dan utara Pulau Tioman di Pahang. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!