Bestinet bukan agensi pengambilan pekerja asing

Ismail menjelaskan Bestinet adalah syarikat IT yang tidak berurusan langsung dalam proses pengambilan pekerja asing.
Ismail menjelaskan Bestinet adalah syarikat IT yang tidak berurusan langsung dalam proses pengambilan pekerja asing.
A
A
A

BESTINET Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), iaitu platform untuk mendaftarkan pekerja asing di Malaysia menegaskan ia hanya penyedia sistem penyelesaian berpusat dan bukan agensi pengambilan pekerja asing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismail Mohd Noor berkata, FWCMS adalah platform yang berkesan dan cekap untuk negara sumber dan majikan di Malaysia mendaftarkan pekerja asing bermula dari awal proses hingga ke peringkat akhir.

Dalam temu bual Di Sebalik Isu minggu ini, Ismail turut menjawab pelbagai tohmahan kepada Bestinet setiap kali isu berkaitan pekerja asing muncul di Malaysia.

Ikuti temu bual wartawan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid bersama Ismail.

SINAR HARIAN: Boleh anda jelaskan lebih lanjut mengenai Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing?

ISMAIL: Sistem ini dilaksanakan pada tahun 2013 secara 'proof of concept' (pembuktian konsep). Konsep ini kita laksanakan bagi membuktikan kepada kerajaan Malaysia bahawa sistem ini boleh membanteras pemerdagangan manusia, penipuan dokumen, menjaga kebajikan pekerja dan menjaga kepentingan majikan.

Bila kita beri laporan pada 2015, kerajaan Malaysia mengakui FWCMS berjaya membanteras masalah-masalah tadi. Buat masa ini, konsesi FWCMS telah dilanjutkan sehingga tahun 2024.

Artikel Berkaitan:

 Ismail Mohd Noor
Ismail Mohd Noor

FWCMS yang berfungsi untuk menghapuskan orang tengah dalam pengambilan pekerja asing telah menimbulkan kemarahan ejen-ejen pekerja asing di negara sumber. Mengapa ini berlaku?

Pihak berkepentingan dalam pengambilan pekerja asing termasuklah ejen-ejen di negara sumber seperti di Bangladesh dan Nepal. Majikan di Malaysia akan mengambil perkerja asing melalui ejen pengambilan di negara sumber. Ejen-ejen berdaftar ini akan menggunakan orang tengah untuk merekrut pekerja di daerah-daerah dan kampung-kampung.

Orang tengah itu pula tidak berdaftar di negara sumber. Bila adanya sistem FWCMS yang mana pekerja boleh terus pergi kepada ejen-ejen bertauliah, ia akan menghapuskan peranan orang tengah. Jadi orang-orang tengah ini menentang sistem ini kerana peranan mereka dihapuskan dan ini merugikan mereka. Apabila merugikan, pasti mereka akan menentang sebab periuk nasi mereka terjejas.

FWCMS mengiktiraf ejen-ejen pengambilan pekerja bertauliah kerana mereka juga adalah pengguna sistem ini. Kepada majikan, sistem ini lebih telus sebab mereka boleh nampak pekerja yang didaftarkan manakala pekerja asing boleh terus kepada ejen-ejen bertauliah tanpa perlu melalui orang tengah.

Sistem FWCMS membolehkan majikan mengetahui tahap kesihatan pekerja asing yang diambil bekerja.
Sistem FWCMS membolehkan majikan mengetahui tahap kesihatan pekerja asing yang diambil bekerja.

Adakah Bestinet menyediakan sistem yang sama di negara-negara lain?

Kita juga telah menyediakan sistem FWCMS di Maldives. Maldives bergantung kepada pelancongan sebagai sumber pendapatan negara. Penduduknya tidak ramai, tiga juta orang sahaja. Ada banyak pusat pelancongan seperti resort dan hotel memerlukan pekerja. Itulah sebabnya mereka mengambil pekerja asing dari Pakistan, India dan Bangladesh.

Namun, Maldives menghadapi masalah yang serupa dengan Malaysia. Pekerja-pekerja itu datang sebagai pelancong, selepas itu bekerja secara haram.

Apa yang kita laksanakan di Maldives adalah proses yang sangat ketat. Sebelum ini pekerja asing yang mahu ke Maldives tidak perlu membuat pemeriksaan kesihatan di negara asal mereka. Tapi apabila kita implementasi sistem ini, mereka memastikan pekerja asing itu mesti sihat sebelum sampai ke Maldives.

Mengapa orang sering salah faham peranan Bestinet?

Apabila sistem FWCMS dilaksanakan secara holistik iaitu ‘hujung ke hujung’, maksudnya daripada pekerja itu masuk sehingga pekerja itu keluar, proses itu mungkin menimbulkan salah faham mengenai peranan Bestinet.

Saya ingin perjelaskan sekali lagi, Bestinet adalah syarikat IT dan kami tidak berurusan langsung dalam proses pengambilan pekerja asing.

Pada masa sama, ada pihak berkepentingan yang akan rugi seperti orang tengah. Maka keluarlah berita kononnya Bestinet memonopoli pengambilan pekerja asing. Ejen-ejen inilah yang mengeluarkan berita yang tidak baik itu.

Sistem FWCMS bertujuan menjaga kebajikan pekerja asing di Malaysia.
Sistem FWCMS bertujuan menjaga kebajikan pekerja asing di Malaysia.

Bagaimana sistem FWCMS dapat membendung jenayah pemerdagangan manusia?

Pemerdagangan manusia berlaku apabila pekerja asing itu ditipu. Contohnya majikan di Malaysia mahu mengambil pekerja asing dengan gaji RM1,200 tetapi ejen pengambilan memberitahu bakal pekerja berkenaan yang mereka akan mendapat RM1,500 atau RM2,000. Itu penipuan berkaitan gaji sahaja. Ada juga penipuan melibatkan kontrak. Sepatutnya mereka bekerja di kilang tetapi apabila sampai di Malaysia mereka dihantar bekerja di ladang.

Di Malaysia, majikan pertama mungkin ‘menjual’ pekerja tadi kepada majikan lain. Maksudnya, majikan kedua itu membayar kepada majikan pertama untuk mendapatkan khidmat pekerja asing tadi. Inilah yang dipanggil pemerdagangan manusia.

Dibandingkan dengan FWCMS, pencari kerja akan nampak kontrak, dah tahu siapa majikan mereka. Majikan berkait rapat dengan sistem. Contohnya kalau ada kes pemerdagangan manusia atau gaji tidak dibayar, sistem secara automatik akan semak perkara itu.

Bestinet juga membangunkan platform-platform lain selain FWCMS.
Bestinet juga membangunkan platform-platform lain selain FWCMS.

Kita ada satu modul dipanggil E-wadges yang memantau pembayaran gaji secara automatik. Apabila gaji dikreditkan, bank akan memberitahu sistem E-wadges tadi gaji telah dibayar. Kita hantar juga mesej kepada pekerja, gaji anda telah masuk.

Kalau majikan tidak membayar gaji selepas 7 hari bulan, kita akan hantar tiga kali notifikasi kepada majikan. Jika masih tidak dibayar, kita hantar makluman terus kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk ambil tindakan penguatkuasaan.

Bagaimana anda melihat Bestinet sebagai syarikat IT pada masa depan?

Sebagai syarikat teknologi maklumat, Bestinet juga membangunkan platform-platform lain selain FWCMS. Contohnya, sekarang kami fokus kepada pengembara-pengembara yang akan datang ke Malaysia.

Macam mana kita nak pastikan orang yang datang ke Malaysia itu betul-betul membuat saringan Covid-19? Sama seperti pekerja asing juga, ada kes pekerja asing tidak pergi pun buat pemeriksaan kesihatan tetapi dia tipu laporan perubatan. Untuk pengembara mungkin berlaku hal yang sama. Jadi, kita telah ada sistem itu dan kita akan laksanakannya.