Rakam aksi pelanggan merokok elak denda RM5,000

Ramli menunjukkan papan tanda larangan merokok yang ditampal pada dinding restoran miliknya di Bandaraya Kuantan pada Isnin.
Ramli menunjukkan papan tanda larangan merokok yang ditampal pada dinding restoran miliknya di Bandaraya Kuantan pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - [LAPORAN KHAS] Seorang pengusaha restoran bertindak mengambil gambar dan merakam perbuatan pelanggan yang merokok di dalam premisnya bagi mengelak didenda pihak berkuasa.

Ramli Putih, 61, berkata, beliau akan menegur terlebih dahulu pelanggan yang merokok di dalam kedai miliknya.

Menurutnya, sebagai bukti sudah menegur pelanggan terbabit, beliau akan merakam dan mengambil gambar bagi mengelakkan didenda jika penguat kuasa menjalankan pemeriksaan di premisnya.

“Terus terang saya cakap amat tidak berbaloi dan tidak adil kalau denda itu dikenakan kepada saya (peniaga) sedangkan mereka (perokok) yang datang ke restoran ini.

“Jadi saya terpaksa bertegas dan menegur mereka supaya tidak merokok serta mengambil gambar sebagai bukti teguran sudah dibuat. Memang sukar untuk nasihat perokok tegar ini tetapi saya cakap elok-elok.

“Saya juga minta mereka merokok dalam jarak yang dibenarkan seperti di tepi pokok, longkang dan sebagainya,” katanya.

Ramli berkata, sejak pelaksanaan larangan itu kebanyakan pelanggan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Katanya, ini sekali gus memberi keselesaan kepada keluarga yang datang menikmati makanan di restorannya.

Artikel Berkaitan:

“Ada pelanggan yang bawa anak kecil pun seronok bila jamah makanan kerana sudah tiada asap rokok,” katanya.