Golongan muda berubah sikap jika peroleh kuasa

Akhbar Satar - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Akhbar Satar - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Sesetengah golongan muda didakwa akan berubah atau bertukar sikap sekiranya mereka memperoleh kuasa.

Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, perkara itu boleh berpunca daripada tiga sebab iaitu harta, takhta dan wanita.

“Apabila mereka mendapat kuasa, sudah terkejut. Orang bagi jawatan, bagi perempuan kadang-kadang alami kejutan budaya. Ini berlaku,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-242 bertajuk ‘Integriti Anak Muda Penyelamat UMNO’ yang disiarkan menerusi dalam talian pada Khamis.

Wacana turut menampilkan Exco Pemuda UMNO, Farhan Khairuddin dan Penulis Buku Rasuah Politik, Profesor Madya Dr Ishak Suliaman manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dari kiri; Ismail, Akhbar, Farhan dan Ishak pada Wacana Sinar Harian siri ke-242 yang membincangkan topik Intergriti Anak Muda Penyelamat UMNO pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN/ASWANDI SHUKOR.
Dari kiri; Ismail, Akhbar, Farhan dan Ishak pada Wacana Sinar Harian siri ke-242 yang membincangkan topik Intergriti Anak Muda Penyelamat UMNO pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN/ASWANDI SHUKOR.

Akhbar berkata, jika mahu memberikan golongan muda kuasa, integriti mereka perlu disemak terlebih dahulu.

“Berdasarkan tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2015 hingga 2020, daripada 5,000 hingga 6,000 orang, 55 peratus (tangkapan) adalah golongan muda yang berumur antara 29 hingga 39 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Akhbar berkata, rasuah juga bukan sahaja melibatkan kewangan tetapi turut melibatkan pemberian jawatan seperti pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pelantikan sebagai menteri.

Artikel Berkaitan:

“Ada juga mengatakan disebabkan isu-isu tertentu mereka melompat parti kerana mereka ini hendak jawatan atau kuasa.

“Ada juga cakap-cakap mengatakan bahawa mereka ini takut ditangkap dan diugut,” katanya.

Tegas Akhbar, seseorang itu tidak perlu takut ditangkap atau diugut berhubung isu rasuah sekiranya mereka mempunyai integriti.

“Ini kerana rakyat terutamanya generasi Y, Z, dan Alpha sentiasa memerhatikan tingkah laku individu berkenaan,” katanya.